Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan hadir pada Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 22 MEI 2023.

KUALA LUMPUR – Kerajaan Negeri Pulau Pinang didakwa tidak boleh diharapkan apabila gagal mengatasi masalah pencemaran sungai yang berlaku di negeri itu.

Datuk Wan Saiful Wan Jan (PN-Tasek Gelugor) berkata demikian sambil mengambil contoh situasi pencemaran yang berlaku di Sungai Kereh di bawah Parlimennya.

Menurut Wan Saiful, masalah sungai terbabit dikesan berpunca dari ladang ternakan babi yang terletak di kawasan berdekatan.

“Saya nak timbulkan secara spesifik (pencemaran) Sungai Kereh di Tasek Gelugor.

“Masalah ini sudah berlanjutan bertahun-tahun lamanya. Ada sinar semasa Kubang Kerian (Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man) menjadi menteri yang bertanggungjawab menyelesaikan masalah tersebut.

“Tetapi, seperti disebut oleh Timbalan Menteri (Datuk Seri Huang Tiong Sii), kalau nak selesai betul-betul, sumber pencemaran adalah ladang babi yang berdekatan di Kampung Selamat.

“Tetapi selama ini tidak selesai. Kalau ikut timbalan menteri tadi, kita perlukan kerjasama kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan sebagainya.

“Kalau nak diharapkan Kerajaan Pulau Pinang, saya rasa setakat ini ‘confirmed’ gagal,” katanya ketika mengajukan soalan tambahan di Dewan Rakyat, hari ini.

Justeru, Wan Saiful meminta jaminan daripada Kerajaan Persekutuan supaya masalah pencemaran di Sungai Kereh itu dapat diselesaikan.

Katanya, penyelesaian masalah itu mampu mengurangkan ‘kegagalan’ Kerajaan Pulau Pinang.

Bagaimanapun, soalan diajukan Wan Saiful itu dipersoal oleh RSN Rayer (PH-Jelutong), yang mendakwa pertanyaan itu melanggar Peraturan Mesyuarat 36 (6) kerana membuat sangkaan jahat.

“Dalam soalan tadi YB (Tasek Gelugor) mengatakan kalau mengharapkan Kerajaan Pulau Pinang, ‘confirmed gagal‘. Itu merupakan satu kenyataan tak betul,” ujarnya.

Namun, Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Alice Lau Kiong kemudian memaklumkan, apa yang dibangkitkan Wan Saiful tidak dituju kepada mana-mana ahli Dewan Rakyat.

“Peraturan Mesyuarat 36 (6), seseorang ahli tidak boleh mengeluarkan sangkaan jahat terhadap siapa-siapa ahli lain.

YB Tasek Gelugor tidak menuju kepada siapa-siapa ahli (Dewan Rakyat),” katanya.

Rayer bagaimanapun masih tidak berpuas hati dan mendakwa, kenyataan Wan Saiful dituju kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.

“Itu tidak adil…” kata Rayer.

Mendengar jawapan itu, Alice sekali lagi menegaskan bahawa beliau telah membuat ‘ruling’ berhubung perkara itu. – MalaysiaGazette