Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail (kiri) ketika lawatan ke rumah Muhammad Athif Fahri Mohd Farhan yang menghidapi penyakit genetik jarang jumpa, Atrofi Otot Spina (SMA), Jenis 1 di sini hari ini

KUANTAN – Kerajaan negeri Pahang akan menanggung baki kos perubatan Muhammad Athif Fahri Mohd Farhan yang menghidapi penyakit genetik jarang jumpa, Atrofi Otot Spina (SMA), Jenis 1.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail juga mahu proses bagi mendapatkan rawatan yang diperlukan bayi berusia 16 bulan itu dimulakan serta merta.

“Saya harap tindakan segera diambil, jangan tunggu dana cukup baru nak berubat. Kerajaan negeri menjadi kolateral cagaran sebanyak RM300,000.

“Saya beri jaminan di sini, kerajaan negeri akan tanggung kekurangan kos untuk perubatan adik Athif, sebab itu saya minta terus ambil tindakan, pergi berubat,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke rumah Muhammad Athif Fahri, di Permatang Badak, di sini, hari ini.

Mohd Farhan Mohd Sait (kiri) bersama Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail

Muhammad Athif Fahri yang mesra dipanggil adik Athif memerlukan suntikan ubat jenis genetik Zolgensma berjumlah kira-kira AS$2.1 juta atau RM9.7 juta untuk kesan pulih seumur hidup.

Difahamkan, sebanyak RM9.49 juta telah dikumpulkan Yayasan Misi Rakyat sebulan ia dilancarkan dan baki yang diperlukan adalah kira-kira RM300,000.

Dalam pada itu, Mohd Farhan Mohd Sait, 35, bapa kepada Muhammad Athif menzahirkan kesyukuran kerana dana yang dikumpul untuk perubatan anaknya kini mencukupi.

Mohd Farhan Mohd Sait

“Minggu lepas kita dah ambil sampel darah Athif dan dihantar ke Amsterdam untuk kesesuaian ubat, kalau tiada masalah dan dana pun mencukupi, dalam masa sebulan untuk ubat sampai.

“Alhamdulillah, saya juga bersyukur kerajaan negeri memberi jaminan ini kerana kadang-kadang keadaan Athif lemah,” katanya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN

MGNews: Doktor Kata Athif Tak Akan Survive, RM9 Juta Derma Rakyat Malaysia Beri Sinar Sementara

 

 

Selepas Naail, Misi Rakyat mahu bantu Athif