Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek beramah mesra bersama tetamu yang hadir pada Majlis Penutup Konvensyen Islam dan Melayu peringkat Selangor di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz, Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 14 JUN 2023.

SHAH ALAM – Karamah Insaniah menjadi tumpuan dalam tujuh teras utama Kementerian Pendidikan bagi membentuk jati diri insan.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, ia juga antara agenda penting dalam kerajaan Malaysia Madani yang diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kata beliau, Perdana Menteri amat konsisten apabila bercakap soal akhlak, penekanan terhadap adab dan ihsan, yang mana ia terangkum dalam apa yang sedang diperkukuhkan kerajaan bagi menguatkan jati diri anak bangsa.

“Di peringkat kementerian juga, selain Karamah Insaniah, kita ada ABC iaitu Anak Baik lagi Cerdik yang diterapkan dalam usaha membina pendidikan karakter, sekali gus pembinaan bangsa Malaysia yang lebih kuat.

“Saya hendak memastikan setiap insan ini diberikan ruang secukupnya seperti akses pendidikan yang berkualiti bagi memastikan tiada siapa patut dipinggirkan,” katanya.

Beliau berkata demikian merasmikan penutup Konvensyen Islam dan Melayu: Karamah Insaniyah Teras Pembentukan Jati Diri Umat peringkat Selangor di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz di sini, petang ini.

Hadir sama, Exco Agama negeri, Mohd Zawawi Ahmad Mughni, yang turut merasmikan pembukaan konvensyen itu pagi tadi.

Menurut Fadhlina, Islam dan Melayu merupakan dua entiti penting untuk umat melihat semula tokoh tertentu yang boleh diungkapkan sebagai manusia multi dimensi.

Beliau memberi contoh, di rantau ini, tokoh seperti Allahyarham Hamka tiada tolok bandingnya dengan ilmu agama dan peranannya dalam dakwah.

“Allahyarham, saya sifatkan seperti tokoh multi dimensi yang sangat penting dalam konteks ia melihat kepada kekuatan ilmu agamanya dan peranannya dalam dakwah dan juga prolifiknya menulis perkembangan semasa dalam dunia dakwah.

“Saya berkesempatan menonton filem Buya Hamka, sebuah filem yang cuba mengungkapkan ketokohannya dalam rantau Melayu ini.

“Inilah tokoh multi dimensi penting yang menulis mengenai pelbagai isu dalam mengangkat karamah insaniah bagi kelompok komuniti dakwah. Tidak ada tokoh yang begitu kuat menulis mengenai wanita dan hak wanita di rantau ini, melainkan Hamka,” katanya.

Katanya, dalam keluarga pendidikan di universiti sebelum ini, beliau mewajibkan setiap pelajarnya memiliki buku Hamka berkaitan martabat dan kedudukan wanita dalam Islam.

Buku itu, ujar beliau, memberi kekuatan kepada wanita dalam konteks memperkasakan kaum itu bermula dari kedudukannya dalam syariat dan kesaksamaan serta peranannya.

“Sebab itu saya sangat suka bila Hamka sentiasa memulakan konteks peranan dan fungsi lelaki dan wanita ini dimulakan dengan ayatnya, ‘Jangan bergaduh siapa yang Allah jadikan dulu’. Hamka mengungkapkannya dengan cukup baik.

“Selain itu, umat Islam dan Melayu juga disarankan membaca buku mengenai kepimpinan negara tulisan Imam Al-Ghazali yang memberikan kesedaran kepimpinan kepada pemerintah untuk berkhidmat kepada rakyat,” katanya.

Dalam ucapannya, Fadhlina turut menyentuh mengenai umat Islam dan Melayu yang pernah menjadi bangsa sangat kuat.

Ujar beliau, Islam dan Melayu juga pernah terkenal sebagai bangsa laut kerana mempunyai tokoh yang dapat menguasai ilmu kelautan.

“Sebut saja mengenai laut, ada tokoh Melayu yang menjadi pelayar terkenal di seluruh dunia dengan menguasai ilmu isyarat simbol di laut sama ada dari burung hingga kepada ikan.

“Tokoh ini kenal isyarat ombak yang menentukan arah tuju angin bagi memastikan keselamatan keseluruhan nakhoda dan jurumudi dan anak kapal terjamin.

“Malahnya, dalam kita mengangkat martabat orang Melayu, ada pihak tertentu mengecam dan memperlekehkan bangsa ini kononnya malas, mudah lupa, lemah dan sebagainya,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast