KUALA LUMPUR – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dengan kerjasama Pusat Penyelidikan Kesejahteraan Sosial (SWRC) Universiti Malaya, melancarkan Panduan Belanjawanku untuk Individu dan Keluarga di Malaysia 2022/2023; dan Aplikasi Mobil Belanjawanku, untuk menyediakan anggaran perbelanjaan bulanan minimum untuk pelbagai jenis barangan dan perkhidmatan untuk isi rumah yang berbeza.
Mula diperkenalkan pada 2019 untuk penduduk Lembah Klang, Panduan Belanjawanku telah diperluaskan untuk meliputi 11 lagi bandar utama di seluruh negara.
Panduan ini memperincikan perbelanjaan minimum mengikut kategori isi rumah (bujang, keluarga atau warga emas) dan menyediakan cadangan mengenai peruntukan perbelanjaan, perbelanjaan pilihan dan simpanan persendirian.
Aplikasi Belanjawanku, yang dibangunkan sendiri oleh pasukan KWSP, telah dimuat naik di semua gedung aplikasi pada Ogos 2022. Aplikasi ini mengandungi ciri interaktif untuk pengguna memantau perbelanjaan mereka secara dalam talian.
Pengguna aplikasi boleh memilih untuk menggunakan panduan Belanjawanku atau kaedah Rule of Thumb 1 untuk memantau perbelanjaan bulanan mereka. Sehingga Mei 2023, aplikasi Belanjawanku telah merekodkan jumlah muat turun sebanyak 12,000.
Pengerusi KWSP, Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir berkata, menurut Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan 2019-2023, yang dibangunkan oleh Rangkaian Pendidikan Kewangan (FEN), yang mana KWSP adalah ahli, sebanyak 76% rakyat Malaysia mempunyai belanjawan, namun tidak semua mematuhi belanjawan tersebut.
Data juga menunjukkan 47% 2 menghadapi kesukaran untuk memperuntukkan RM1,000 untuk kegunaan kecemasan.
“Data-data ini menunjukkan bahawa rakyat Malaysia perlu meningkatkan celik kewangan sebagai salah satu prasyarat untuk mengukuhkan kewangan dan kesejahteraan masa depan persaraan mereka.
“Oleh itu, Panduan Belanjawanku dibangunkan agar rakyat Malaysia boleh menjadi lebih bijak dalam menguruskan kewangan mereka,” katanya.
Panduan Belanjawanku telah diguna pakai oleh pegawai Khidmat Nasihat Persaraan (RAS) KWSP dalam memberikan bimbingan dan nasihat kewangan kepada ahli, seterusnya membentuk asas kesejahteraan kewangan yang kukuh dan kualiti hidup yang lebih baik dalam jangka panjang.
Buku Belanjawanku boleh dimuat turun secara percuma di laman web KWSP di www.kwsp.gov.my. Aplikasi Belanjawanku juga boleh dimuat turun secara percuma di Apple App Store, Google Play dan Huawei App Gallery. – MalaysiaGazette