Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

PUTRAJAYA – Datin Seri Rosmah Mansor sekali lagi memohon supaya pasport antarabangsa beliau dipulangkan sementara bagi melawat anak perempuannya, Nooryana Najwa Najib dan keluarga di Singapura.

Rosmah yang merupakan isteri kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib  Razak, memohon mendapatkan sementara dokumen perjalanan selama dari 6 Jun sehingga 7 Julai ini iaitu kira-kira empat minggu.

Mahkamah sebelum ini telah membenarkan Rosmah mendapatkan sementara pasportnya dua kali untuk melawat Nooryana yang bersalin anak kedua dan ketika cucu lelakinya tidak sihat.

Untuk makluman, Nooryana berkahwin dengan warganegara Kazakhstan, Daniyar Kessikbayev dan mereka menetap di Singapura.

Pasport itu juga akan diserahkan oleh Rosmah kepada mahkamah seminggu selepas pulang dari Singapura.

Perkara ini juga telah disahkan oleh peguamnya, Datuk Akberdin Abdul Kader dan memaklumkan permohonan ini akan didengar esok di Mahkamah Rayuan.

Ketika ini, Rosmah sedang merayu keputusan Mahkamah Tinggi pada 1 September tahun lalu yang mendapati beliau bersalah atas tiga tuduhan rasuah berkaitan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu, Mohamed Zaini Mazlan telah menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun serta denda RM970 juta.

Beliau juga memerintahkan Rosmah dipenjara 30 tahun jika gagal membayar denda itu, tetapi membenarkan permohonannnya untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara dan denda sementara menunggu rayuannya yang akan didengar Mahkamah Rayuan pada 11 hingga 14 Julai ini. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast