Monday, March 4, 2024
Home Utama Tuntutan Sulu: Kerajaan tidak berkompromi jika ada rakyat Malaysia sabotaj negara

Tuntutan Sulu: Kerajaan tidak berkompromi jika ada rakyat Malaysia sabotaj negara

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM,14 JUN 2023.

KUALA LUMPUR – Kerajaan menegaskan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu termasuk rakyat Malaysia, jika didapati bersekongkol atau membantu kumpulan yang mendakwa waris Kesultanan Sulu terhadap tuntutan Sabah.

 Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah pun memulakan siasatan terhadap pihak yang membuat tuntutan, penimbang tara, peguam serta pihak-pihak lain yang berkaitan di bawah Seksyen 124K Kanun Keseksaan bagi kesalahan sabotaj.

Bagaimanapun Perdana Menteri memberi jaminan sebarang tindakan adalah berasaskan undang-undang dan tiada sebarang penindasan terhadap mana-mana pihak.

Beliau juga menegaskan, kerajaan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan jenayah terhadap mana-mana pihak termasuk warganegara Malaysia yang memberikan sokongan, bantuan secara langsung dan tidak langsung serta bersekongkol dengan pihak yang membuat tuntutan ke atas Sabah seperti yang didalangi Kumpulan Sulu.

Beliau berkata demikian ketika membuat penjelasan berkenaan dalam sesi penerangan Perdana Menteri mengenai status terkini tuntutan lapan warga Filipina yang mendakwa waris Sultan Sulu di Dewan Rakyat.

Sebelum ini media melaporkan kerajaan sedang menyiasat kemungkinan wujud ‘tali barut’ dalam kalangan rakyat negara ini yang membantu dalam kes kumpulan yang mendakwa waris Sulu.

Mendedah situasi itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, tidak menolak kemungkinan orang dalam menjadi dalang dalam tuntutan kumpulan Sulu itu, berdasarkan tuntutan tanpa henti mereka atas syarikat berkaitan kerajaan Malaysia di luar negara.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, kerajaan Malaysia sentiasa komited dalam bertindak secara proaktif bagi menamatkan isu tuntutan berkenaan, selain memastikan kepentingan Malaysia serta kedaulatan negara sentiasa terpelihara.

“Dalam hal ini, kerajaan Malaysia akan terus mara ke hadapan dan berjuang habis-habisan, demi melindungi dan memelihara kepentingan dan kedaulatan Malaysia pada setiap masa,” katanya.

Perdana Menteri turut menegaskan kerajaan akan terus berjuang melindungi, memelihara kepentingan, kedaulatan Malaysia dalam isu tuntutan Sulu.

Beliau berkata, tiada bukti pembabitan dan campur tangan Kerajaan Filipina dalam isu tuntutan Sulu. MalaysiaGazette