Aksi Wilson ketika terlibat dalam misi mencari empat kanak-kanak yang hilang selama 40 hari dalam hutan Amazon Colombia. foto https://english.elpais.com/

BOGOTA – Usaha mencari dan mengesan seekor anjing yang terlibat dalam misi mencari empat anak orang asli yang hilang dalam hutan Amazon Colombia masih diteruskan.

Anjing bernama Wilson itu dipercayai telah menemui empat kanak-kanak itu terlebih dahulu sebelum pasukan penyelamat tiba.

Pasukan tentera Colombia kini meredah hutan tersebut untuk mencari anjing yang hilang selepas bertugas sejak dua minggu lalu.

Kesan tapak kaki anjing dikesan berhampiran tapak kaki kanak-kanak itu sejurus sebelum pasukan penyelamat sampai kepada mereka.

Dua kanak-kanak yang ditemui, Lesly dan Soleiny, telah membuat lukisan seekor anjing di sebelah sungai dan di tengah-tengah pokok.

Malah, kanak-kanak itu ada memberitahu penyelamat terdapat beberapa waktu, mereka telah ditemani oleh seekor anjing besar.

Astrid Caceres, pengarah Institut Kebajikan Keluarga Colombia yang mengawasi pemulihan kanak-kanak itu berkata, mereka masih bercakap tentang seekor anjing.

Haiwan itu dipercayai Wilson, salah satu daripada 10 anjing milik tentera yang dikerahkan dalam operasi mencari.

Wilson kali terakhir dilihat pada Khamis, sehari sebelum kanak-kanak itu diselamatkan.

Salah seorang anggota tentera yang mengendalikan anjing berkata, rakannya cuba mendekati Wilson dan bermain dalam usaha menangkapnya tetapi ia berjaya melarikan diri.

Wilson yang berusia enam tahun dipercayai menjadi keliru dalam hutan tebal atau telah melihat haiwan pemangsa berbahaya, menyebabkan perubahan dalam tingkah laku normalnya

General Pedro Sanchez yang mengetuai misi mencari kanak-kanak itu berikrar akan membawa Wilson balik bersama. – Agensi