Seorang guru maahad tahfiz dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini atas tiga pertuduhan melakukan amang seksual terhadap seorang pelajar lelaki.

JOHOR BAHRU – Seorang guru maahad tahfiz dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini  atas tiga pertuduhan melakukan amang seksual terhadap seorang pelajar lelaki.

Tertuduh, Mohamad Hamzi Mohd Kasmadi, 27, mengaku tidak bersalah selepas ketiga-tiga pertuduhan ke atasnya dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Siti Noraidi Sulaiman.

Mengikut kertas pertuduhan, Mohamad Hamzi didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja berusia 16 tahun dengan cara memasukkan kemaluannya ke dalam dubur mangsa.

Tertuduh yang juga warden asrama didakwa melakukan perbuatan itu  dalam sebuah bilik asrama maahad tahfiz di Benut, Pontian pada Julai dan November tahun lalu dan Mac lalu.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 14(d) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan juga boleh dikenakan hukuman sebat jika sabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Nor Fadilah Johanuddin menawarkan jaminan RM20,000 beserta syarat tambahan tertuduh tidak boleh mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Selain tertuduh perlu melapor diri di balai polis berhampiran dan menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah.

Bagaimanapun peguam tertuduh, Omar Kutty Abdul Aziz memohon jaminan dikurangkan memandangkan tertuduh yang berpendapatan RM1,800 sebulan menanggung isteri yang sarat mengandung anak pertama.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM18,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan dengan seorang penjamin beserta syarat-syarat tambahan.

Mahkamah kemudian menetapkan 23 Julai bagi tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast