Lim Hui Ying

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) mengesahkan hampir 30,000 pelajar direkodkan tidak menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022.

Menurut Timbalan Menteri, Lim Hui Ying, bilangan itu turut membabitkan calon yang berdaftar mengambil satu mata pelajaran dalam peperiksaan awam itu.

Menjelaskan di Dewan Rakyat, Hui Yin berkata, tidak berlaku percanggahan angka 30,000 yang disebut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan angka bekas Menteri Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin.

Katanya, jumlah yang tepat seramai 29,663 daripada 388,832 tidak mengambil peperiksaan awam itu tahun lalu.

“Apa yang dinyatakan bekas Menteri Pendidikan (Datuk Dr Radzi Jidin) mengenai hanya 14,858 atau 3.8 peratus itu calon tidak hadir peperiksaan adalah calon yang berdaftar mengambil enam mata pelajaran termasuk calon persendirian,” jelasnya.

Hui Yin menjawab soalan tambahan Roslan Hashim (PN-Kulim-Bandar Baharu) dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Roslan dalam soalannya ingin mengetahui percanggahan angka keciciran pelajar yang menghadapi SPM 2022 yang disenaraikan Anwar dan Radzi.

Selasa lalu, Anwar dalam Program Cakna dan Dialog Malaysia Madani di Dewan Canselor Tun Abdul Razak Universiti Kebangsaan Malaysia mendedahkan 30,000 pelajar direkodkan tidak menduduki peperiksaan SPM tahun lalu.

Bagaimanapun Mohd Radzi mempertikaikan angka tersebut di Dewan Rakyat semalam.

Radzi yang juga Ahli Parlimen Putrajaya mendakwa Anwar telah memesongkan fakta sebenar berkenaan jumlah pelajar yang tidak menduduki peperiksaan SPM tahun lalu.

Sementara itu, Hui Yin berkata, KPM sentiasa komited untuk menambah baik sistem pengajaran dan pembelajaran berasaskan teknologi dan digital secara berterusan untuk memenuhi keperluan pendidikan masa hadapan.

Pihak kementerian menyediakan 50,000 komputer riba tahun ini kepada sekolah dan institusi pendidikan bagi menyokong peranan guru dalam mendidik murid-murid selaras dengan arus pemodenan teknologi digital.

Hui Yin juga berkata, sehingga 31 Mei 2023 sebanyak 1,789 latihan berkaitan digital atau ICT telah dilaksanakan ketika menjawab soalah Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng (BN – Tanjong Piai).- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast