Pelancaran ujian peluru berpandu hipersonik oleh Pyongyang pada 11 Januari 2022 di Korea Utara. Foto KCNA

SEOUL – Korea Utara melepaskan dua peluru berpandu jarak dekat pada hari Khamis, kata tentera Korea Selatan, bedilan terbaharu dalam siri ujian senjata yang dijalankan oleh Pyongyang tahun ini.

Ketua Turus Bersama Korea Selatan berkata, tentera negara itu mengesan dua peluru berpandu balistik jarak dekat yang dilancarkan oleh Korea Utara ke Laut Timur dari kawasan Sunan kira-kira jam 7.30 malam waktu tempatan.

Laut Timur juga dikenali sebagai Laut Jepun.

Ketua-ketua tentera bersama berkata, Korea Selatan “mengekalkan kesediaan sambil bekerjasama rapat dengan Amerika Syarikat (AS) dalam mengukuhkan pengawasan dan kewaspadaan sebagai persediaan untuk provokasi selanjutnya.

Ujian peluru berpandu itu dibuat selepas tentera Korea Utara berikrar untuk bertindak balas terhadap Korea Selatan dan AS yang mengadakan latihan ketenteraan -tembakan langsung, yang berakhir hari Khamis, berhampiran sempadan kubu kuat yang memisahkan Korea Utara dan Selatan.

Satu artikel yang diterbitkan oleh agensi berita KCNA yang dikendalikan Kerajaan Korea Utara memetik jurucakap Kementerian Pertahanan Negara sebagai berkata, negara itu “mengecam sekeras-kerasnya tindakan provokatif dan tidak bertanggungjawab pihak berkuasa tentera boneka yang meningkatkan ketegangan ketenteraan di rantau ini walaupun diberi amaran berulang kali, dan memperingatkan mereka dengan sungguh-sungguh.”

“Tindak balas kami terhadap perkara ini tidak dapat dielakkan,” pegawai itu dipetik sebagai berkata, tanpa memberikan sebarang butiran mengenai respons yang dirancang. – Agensi