Anggota bomba melakukan misi mencari dan menyelamat di Air Terjun Chamang.

KUANTAN – Perkhemahan oleh sekumpulan pelajar pondok bertukar menjadi tragedi apabila salah seorang daripada mereka dipercayai lemas ketika mandi semasa menyertai aktiviti perkhemahan di Air Terjun Chamang, Bentong dekat sini hari ini.

Menerusi kenyataan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, kejadian berlaku apabila mangsa dikatakan hanyut oleh arus deras ketika mandi bersama 14 lagi rakannya dalam kejadian 11.50 pagi tadi.

Mangsa, Muhamad Akmal Husni Mohamad Ridzuan, 19, merupakan penuntut Pondok Bustanul Ashrafiah Tanjung Malim menyertai perkhemahan selama empat hari bermula 14  sehingga 17 Jun ini.

”Pihak bomba menerima panggilan MERS 999 meminta bantuan bomba untuk menghadiri kes lemas di Air Terjun Chamang. Makluman awal dari pemanggil memaklumkan terdapat 15 orang termasuk mangsa berkhemah di kawasan kejadian.

“Mangsa yang sedang mandi  dikhuatiri dihanyutkan oleh arus yang deras,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pasukan bomba mula operasi dengan membuat SAR di sekitar tempat kejadian sementara menunggu ketibaan pasukan aPenyelamat di Air dari Balai Bomba Bukit Angin dengan kaedah cari di permukaan air.

Seramai 14 anggota bomba, 12 anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan 6 anggota polis menyertai misi mencari dan menyelamat. – MalaysiaGazette