Datuk Seri Ab Rauf Yusoh

MELAKA – Kerajaan negeri memohon peruntukan sebanyak RM13.93 bilion di bawah Rolling Plan 4 (RP4) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) bagi melaksanakan 330 projek rakyat.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 10 projek disenaraikan projek yang perlu diberikan keutamaan segera.

Menurutnya, ia adalah penaiktarafan dan pemodenan infrastruktur E-Tanah, menaik taraf infrastruktur lot tanah Industri Kawasan Perindustrian Melaka Halal Hub fasa dua serta pembangunan projek eko pelancongan fasa duan di Kampung Paya Lebar, Masjid Tanah.

“Turut diperlukan untuk menaik taraf dan membina baru jalan empat lorong Persisiran Pantai dari Hatten City ke Semabok, Pasar Jasin selain Akademi Kemahiran Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) negeri.

“Kita juga mahu menaik taraf ruang di bangunan tambahan Hospital Melaka untuk dijadikan Makmal Jantung Invasif dan menaik taraf Wad Jantung, Jabatan Perubatan Hospital Melaka, membangunkan kampus baharu Politeknik Melaka dan pembinaan Kompleks Perpaduan bagi Daerah Melaka Tengah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Sesi Libat Urus Kajian Separuh Penggal RMKe-12 di sebuah hotel di, Melaka Raya hari ini.

Hadir sama Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, semua projek itu sejajar dengan usaha kerajaan negeri menarik pelabur dalam dan luar negara, khususnya di koridor ekonomi Melaka Waterfront Economic Zone (M-WEZ).

“Ini juga membolehkan perjalanan projek yang dirancang dapat dilaksanakan dengan baik, sekali gus memberi impak tinggi untuk meningkatkan pendapatan negeri,” katanya.

Beliau pada sama menghargai usaha daripada kerajaan Persekutuan kerana meluluskan RP3 untuk tahun ini yang menyaksikan Melaka menerima sebanyak 204 projek bernilai RM7.05 bilion.

Antara projek yang diterima itu adalah menaik taraf Jalan Tun Hamzah ke Persimpangan Semabok, Lebuh AMJ dengan kos sebanyak RM300 juta.

Ia termasuklah projek Stage Bus Service Transformation (SBST) ke Bandar Melaka sebanyak RM150 juta dan projek membina blok wanita dan kanak-kanak Hospital Melaka dengan kapasiti 476 katil sebanyak RM700 juta. – MalaysiaGazette