Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa. Foto HAZROL ZAINAL, 27 MAC 2023.

KUALA LUMPUR – Penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) boleh mendapatkan manfaat rawatan Skim Perubatan Madani di pengamal perubatan swasta umum (GP) bermula hari ini sehingga 31 Disember 2023.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, fasa rintis skim perubatan itu dijangka memberi manfaat kepada 700,000 isi rumah dengan peruntukan sebanyak RM100 juta.

“Skim Perubatan Madani ditawarkan secara automatik kepada penerima STR dengan membantu menampung kos rawatan kes-kes akut. Perkhidmatan percuma yang ditawarkan adalah seperti konsultasi, pemeriksaan, ubat-ubatan, prosedur dan rujukan mengikut pakej yang ditentukan.

“Penerima manfaat boleh mendapat beberapa kali rawatan percuma sehingga peruntukan bagi setiap isi rumah habis.

“Peruntukan bagi setiap isi rumah adalah sehingga RM250 bagi setiap isi rumah berkeluarga, RM125 bagi warga emas (tanpa pasangan) dan RM75 bagi kategori bujang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Zaliha berkata, Skim Perubatan Madani merangkumi rawatan bagi demam selsema, cirit-birit, muntah, terseliuh, sakit kepala, trauma ringan.

Jelas beliau, perkhidmatan kesihatan bagi keadaan bukan akut tidak ditawarkan dalam Skim Perubatan Madani dan hanya boleh didapati di Klinik Kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Pakej rawatan tidak merangkumi rawatan bukan akut seperti imunisasi rutin, saringan kesihatan,  rawatan susulan penyakit tidak berjangkit (NCD) rutin,  rawatan susulan ibu dan anak rutin.

“Selain itu, perancangan keluarga rutin, perkhidmatan rehabilitasi dan permohonan ubat-ubatan dan suplemen tanpa konsultasi doktor,” katanya lagi.

Program perintis Skim Perubatan Madani akan bermula di 10 buah daerah iaitu Gombak, Hulu Langat, Klang dan Petaling (Selangor), Kuala Lumpur, Kinta (Perak), Timur Laut (Pulau Pinang), Johor Bahru (Johor), Kota Kinabalu (Sabah) dan Kuching (Sarawak).

Informasi berkaitan semakan kelayakan dan senarai klinik boleh didapati di laman sesawang ProtectHealth di www.protecthealth.com.my/skimperubatanmadani atau di talian 03-8687 2525. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast