Mohd Azman Ahmad Sapri

KUCHING – Seorang daripada dua suspek warga asing yang melarikan diri dari lokap Balai Polis Tapah dekat sini Isnin lepas berjaya ditahan semula di sebuah kawasan kolam pancing di Jalan Kuching-Serian, 9 pagi tadi.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, suspek berusia 21 tahun itu berjaya ditahan hasil daripada makluman awam yang ternampak suspek di kawasan terbabit.

“Bertindak atas maklumat itu, polis dari balai Padawan telah ke tempat kejadian dan semasa pemeriksaan mendapati suspek adalah seorang daripada OKT (orang kena tuduh) yang melarikan diri dari Balai Polis Tapah.

“Semasa tangkapan dijalankan, tidak ada apa-apa pergelutan dan suspek didapati dalam keadaan keletihan, terdapat kesan calar di bahagian badan dan kaki dipercayai telah bermalam di kawasan belukar sekitar kolam pancing itu,” katanya pada sidang media di Balai Polis Tapah, di sini, hari ini.

Mohd Azman, berkata orang ramai diseru untuk terus memberikan maklumat bagi mengesan seorang lagi suspek yang juga warga Indonesia berusia 31 tahun.

“Setakat hari ini, polis menambah kekuatan sebanyak 156 anggota dengan melibatkan Pasukan Gerakan Am, Unit Dron PGU (Pasukan Gerakan Udara), K9 (unit anjing pengesan) dan bomba,” katanya.

Kedua-dua suspek yang disiasat di bawah Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen itu telah ditangkap 7 Jun lepas dan ditahan di Balai Polis Tapah, namun berjaya melarikan diri sekitar 1 tengah hari, Isnin lepas. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast