Mohd Shuhaily menunjukkan rampasan syabu dan ganja dalam sidang media khas kejayaan rampasan Narkotik bernilai RM3.7 juta itu di ibu pejabat Kontinjen Kuala Lumpur hari ini.- MalaysiaGazette

KUALA LUMPUR – Satu sindiket pengedaran dadah jenis syabu dan ganja bernilai RM3.7 juta didalangi oleh seorang lelaki warga Iran di negara ini akhirnya tumpas.

Seorang lelaki warga tempatan yang merupakan penganggur pula berperanan sebagai penghantar bekalan yang diperoleh  daripada negara jiran juga berjaya dicekup bersama warga Iran itu di ibu negara baru-baru ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, pada 13 Jun lalu, polis bertindak atas risikan telah melancarkan dua serbuan berasingan di sekitar Sentul dan Wangsa Maju bagi menjejaki sindiket tersebut.

Dalam serbuan pertama di sebuah kondominium mewah di Taman Segambut Aman, Sentul pihaknya berjaya membawa kepada tangkapan seorang lelaki warga tempatan berusia 39 tahun.

“Hasil tangkapan ke atas suspek telah membawa kepada pemeriksaan di tempat letak kereta kondominium berkenaan sebelum menemui dadah jenis syabu anggaran seberat 4.2 kilogram (kg) bernilai RM139,000 di dalam kereta Toyota Estima.

“Hasil saringan ujian air kencing ke atas suspek yang masih bujang itu disahkan positif dadah jenis methaphetamine manakala semakan lanjut mendapati tiada rekod jenayah lampau,” katanya dalam sidang media hari ini.

Tambah Mohd Shuhaily, hasil soal siasat, polis telah melakukan serbua kedua di sebuah kondominium mewah di Jalan Ampang.

Hasil serbuan berjaya membawa kepada penahanan seorang lelaki warga Iran yang merupakan dalang utama sindiket dadah tersebut.

“Pemeriksaan lanjut polis ke atas suspek di unit kediaman itu berjaya membawa kepada rampasan dadah jenis syabu seberat 103.3 kg bernilai RM3.4 juta dan ganja seberat 34.7 kg bernilai RM107,000 yang disimpan di dalam rumah tersebut,” ujarnya.

Tangkapan kedua-dua suspek dan rampasan berjaya membawa kepada kejayaan rampasan dadah keseluruhan bernilai RM3.7 juta selain sebuah kereta jenis Perodua Alza bernilai RM30,000 turut disita untuk siasatan lanjut.

Menurut Mohd Shuhaily, modus operandi sindiket berkenaan adalah menjadikan unit kondominium mewah itu sebagai setor simpanan dadah sebelum diedarkan untuk pasaran tempatan di Lembah Klang dan aktif sejak Mei tahun lalu.

“Justeru, siasatan kami juga mendapati suspek warga Iran yang ditangkap itu adalah dalang utama serta seorang jurutera di Iran dan berstatus duda anak tiga.

“Suspek telah masuk ke Malaysia sejak Mei 2023 dan berperanan sebagai pembekal kepada sindiket dadah tempatan serta terlibat dalam pengedaran di Iran sejak tahun 2014 lagi.

“Suspek juga sentiasa berulang alik ke Iran dan Malaysia sejak 2014 lagi dan kali terakhir pulang ke negara asal tiga bulan yang lepas dan kembali semula Mei 2023 manakala rampasan kali ini boleh diedarkan kepada kegunaan 1.4 juta penagih di Lembah Klang.

“Kesemua suspek kini direman bermula semalam sehingga 24 Jun ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati,” tegasnya.- MalaysiaGazette