CYBERJAYA – Satu perjumpaan akan dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan pengurusan Khazanah Nasional Bhd mengenai penjualan Kidzania Singapura.
“Yang itu saya akan bermesyuarat dengan mereka,” katanya kepada media selepas selesai menunaikan solat Jumaat di Masjid Raja Haji Fi Sabilillah hari ini.
Sebelum itu, dilaporkan pengendali taman tema Sim Leisure Group baru-baru ini memperoleh Kidzania Singapore selepas taman tema kanak-kanak itu mengalami pencairan aset di negara itu dengan syarikat itu memperoleh semua aset tidak alihnya daripada penerima dengan hanya RM379,398.
Dipercayai Khazanah dan Boustead Holdings Bhd yang melancarkan Kidzania di Singapura pada 2016 pada mulanya menyuntik RM165.52 juta ke dalam projek itu.
Kidzania Singapura juga dilaporkan berhutang RM184.17 juta kepada pemiutang dengan 93 peratus hutang itu kepada Theme Attractions Resorts & Hotels Sdn Bhd (TARH), anak syarikat Khazanah.
TARH memiliki 80 peratus kepentingan dalam Rakan Riang Pte Ltd (Rakan Riang Singapura), yang mengendalikan Kidzania melalui usaha sama dengan Boustead Curve – anak syarikat Bousted Holdings. – MalaysiaGazette