KUALA LUMPUR – Perbincangan Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama beberapa tokoh ekonomi dan Khairy Jamaluddin menarik perhatian ramai.

Perdana Menteri berkata, perbincangan berkaitan hala tuju ekonomi negara.

Perbincangan itu turut melibatkan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Ghani.

Selain itu turut dihadiri Pengerusi bersama Ahli-ahli Lembaga Pengarah daripada Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), Dr. Nungsari Ahmad Radhi, Prof. Tan Sri Dato’ Seri Dr. Noor Azlan Ghazali Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia (MINDA-UKM), Datuk Johan Mahmood Merican, Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan Dato’ Nor Azmie Diron, Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi.

Pertemuan itu dilihat janggal kerana Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkat,  bekas Ketua Pemuda UMNO itu telah mengatakan pendirian untuk bersama Perikatan Nasional (PN).

Kata Takiyuddin, Khairy sudah menemui Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini dan beliau telah menyatakan pendirian akan tetap menjadi pengundi di Negeri Sembilan.

Dalam hantaran di Facebook, Anwar menjelaskan, pertemuan itu sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan untuk mendapatkan buah fikir serta pandangan mengenai ekonomi negara daripada segenap lapisan masyarakat.

Perbincangan turut menyentuh bidang pertumbuhan baharu dan kaedah untuk memperkukuh ekosistem pelaburan.
“Segala pandangan yang dikongsikan pastinya akan digunakan untuk membentuk Naratif Ekonomi MADANI yang sedang dirangka bagi mencorak hala tuju ekonomi negara dalam tempoh jangka masa sederhana dan panjang.
“Pakar ekonomi yang saya temui hari ini juga bersetuju bahawa kita punyai masa yang terhad untuk menyelesaikan masalah atau tantangan yang melanda ekonomi negara dan membawa Malaysia kembali ke landasan yang betul.
“Saya faham sebarang reformasi atau pembaharuan memerlukan disiplin dan kesabaran. Ia juga memerlukan keyakinan serta keberanian untuk melakukan perkara yang baharu dan membuat keputusan yang berat untuk kepentingan rakyat dan negara,” katanya.
Anwar berkata, kerajaan ini tekad dan akan bekerja keras untuk memacu pertumbuhan yang inklusif dan mampan dan pertumbuhan ekonomi bukan tentang angka semata-mata tetapi mesti menggarap keperluan serta kehendak rakyat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast