KUALA LUMPUR – Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF) melancarkan Skim Pembiayaan Peluang Kedua (2CF) yang menyediakan perniagaan yang menghadapi cabaran dan kesulitan kewangan, terutamanya kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dengan akses bantuan pembiayaan, khidmat nasihat dan panduan perniagaan bagi membolehkan mereka mengatasi cabaran tersebut, merangsang pertumbuhan dan menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara secara keseluruhan.

Skim 2CF berfungsi sebagai talian hayat untuk PKS terpilih, menawarkan penyelesaian yang amat diperlukan untuk menangani halangan kewangan dan memanfaatkan peluang baharu.

Dengan menerima bantuan kewangan melalui skim Pembiayaan Peluang Kedua, PKS akan mempunyai cara untuk memulihkan dan mengekalkan perniagaan dan seterusnya melabur dalam operasi, meningkatkan daya saing dan mengembangkan jangkauan pasaran.

MIDF berkata, suntikan dana ini akan dapat membantu mereka mengatasi kekangan aliran tunai, mendapatkan sumber yang diperlukan untuk kesinambungan perniagaan dan menyelesaikan hutang tertunggak.

“Dengan menyediakan sumber dan inisiatif pembiayaan alternatif seperti skim Pembiayaan Peluang Kedua ini, kerajaan menyasarkan untuk memperkasa PKS melalui agensi seperti MIDF, bukan sahaja memudahkan pemulihan dan memastikan mereka bertahan tetapi turut menggalakkan inovasi, pemeliharaan pekerjaan dan kestabilan ekonomi secara keseluruhan.

“Penyediaan akses pembiayaan menghalang kesan yang boleh memberi impak pada sektor ekonomi yang lain. Kesalinghubungan perniagaan bermakna kegagalan satu syarikat boleh membawa kesan meluas dan sokongan kewangan ini boleh membantu menstabilkan syarikat yang bermasalah, membolehkan mereka memenuhi kewajipan dan mengekalkan kestabilan di seluruh ekosistem,” katanya di sini.

Pengarah Urusan Kumpulan MIDF, Datuk Charon Wardini Mokhzani berkata, MIDF berdiri sebagai sebuah organisasi yang komited untuk menyokong usaha kerajaan dalam membantu syarikat Malaysia sama ada besar atau kecil kerana percaya pada potensi kecemerlangan dan pertumbuhan setiap syarikat.

“Memang tidak mudah menjadi seorang usahawan kerana kadangkala di sebalik semua perancangan dan usaha, mereka masih menghadapi masalah kewangan. Dengan dana ini, kami memberi peluang kedua kepada usahawan yang perniagaannya masih berdaya maju.

“Atau kami juga boleh menyediakan pembiayaan kepada orang lain yang mampu untuk memperoleh perniagaan supaya ia dapat diteruskan, walaupun di bawah pemilik baharu,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast