KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah berjaya menahan seramai 35 orang Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) menerusi satu Operasi Penguatkuasaan Op Sapu yang dilaksanakan di Pasar Borong Selangor di Seri Kembangan dekat sini pada 14 Jun lalu.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, operasi ini dijalankan pukul 4.45 pagi melibatkan seramai 96 orang pegawai daripada Bahagian Penguatkuasaan, Bahagian Anti – Pemerdagangan Manusia serta Pasukan Khas Taktikal Khas (PASTAK) Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Malaysia, Putrajaya.
“Dalam operasi ini seramai 95 orang warga asing telah diperiksa dan hasilnya seramai 35 orang PATI yang berumur antara 21 hingga 52 tahun telah ditahan atas pelbagai kesalahan.
“Mereka yang ditahan itu terdiri daripada 17 lelaki warganegara Myanmar, 13 lelaki Bangladesh, dua lelaki India, dua lelaki Indonesia dan seorang lelaki Yaman,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Ruslin, siasatan awal pihaknya mendapati kesemua mereka dipercayai bekerja di pasar borong tersebut sebagai pekerja am.
Malah semasa serbuan dilakukan di pasar borong itu, pasukan operasi berdepan dengan PATI yang cuba melarikan diri dari kepungan dan keadaan gelap ada menyebabkan dalam kalangan mereka meloloskan diri.
Menurut Ruslin, antara yang diperiksa juga adalah 42 lelaki dan tiga wanita Myanmar yang memegang kad UNHCR.
“Tindakan penguatkuasaan ini diambil setelah menerima aduan awam berhubung PATI yang bekerja di pasar borong tersebut tanpa pas dan dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya lagi.
Antara kesalahan yang dikenalpasti penguatkuasa semasa pemeriksaan ke atas PATI adalah ialah tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Kesemua tahanan itu kini ditempatkan di Depot Imigresen Semenyih, Selangor untuk tujuan siasatan dan tindakan lanjut. – MalaysiaGazette