KUALA LUMPUR – Seorang penganggur dicekup selepas dipercayai terlibat menyamun lima kedai serbaneka di Cyberjaya bersama tiga rakannya, semalam.
Ketua Polis Daerah Sepang Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian pada pukul 4.36 pagi, 10 Jun lalu yang memaklumkan disamun oleh suspek bersenjatakan objek menyerupai pistol ketika berada disebuah kedai serbaneka di Cyberjaya.
Beliau berkata, dalam kejadian pukul 3.30 pagi, pengadu yang sedang bekerja di sebuah kedai serbaneka 24 jam telah didatangi seorang lelaki yang mahu membeli sebotol minuman.
“Ketika hendak membayar minuman tersebut, suspek tiba-tiba telah mengacukan objek berwarna hitam yang menyerupai pistol sebelum membuka laci mesin wang dan mengambil wang sebanyak RM900 sebelum menghilangkan diri.
“Suspek yang sama juga telah melakukan samun terhadap dua lagi premis serbaneka di kawasan Cyberjaya.
“Polis turut mendapat laporan kejadian sama pada 15 Jun lalu tentang kejadian samun sama di dua lagi premis serbaneka di kawasan Cyberjaya,” katanya di sini.
Wan Kamarul Azran berkata, bertindak atas kejadian itu, polis telah melancarkan Ops Khas untuk mengesan suspek dan mengesannya di sebuah rumah di Cyberjaya Sepang,Selangor.
Polis berjaya menahan empat suspek termasuk seorang wanita dan lelaki warga asing kira-kira jam 12.10 tengah malam, semalam.
Dalam serbuan itu, polis telah berjaya merampas sepucuk pistol mainan bersama lapan biji peluru getah dan sebuah kereta yang dipercayai digunakan ketika kejadian.
“Rakan suspek iaitu seorang wanita berusia 29 tahun, seorang lelaki berusia 30 tahun dan seorang lelaki warga asing berusia 22 tahun ditahan kerana memiliki ganja seberat 8.27 gram,” ujarnya
Ujian saringan air kencing mendapati dua suspek positif ganja dan dua lagi negatif dadah.
Manakala suspek utama berusia 35 tahun mengaku terlibat dalam lima kejadian samun secara sendirian dan mengaku menggunakan hasil samun untuk tujuan peribadi.
Sementara tiga rakan suspek tidak mengaku terlibat dalam kejadian samun.
Wan Kamarul Azran berkata, suspek utama direman selama tujuh hari sehingga Khamis di bawah Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan manakalarakan suspek direman selama empat hari sehingga Isnin dibawah Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952
Polis percaya dengan tertangkapnya suspek ini telah berjaya menyelesaikan lima kes samun kedai serbaneka di kawasan Cyberjaya. – MalaysiaGazette