malaysianfootballleague.com

KUALA LUMPUR – Peminat bola sepak tanah air dijangka berpeluang menyaksikan sekali lagi pertembungan antara penyandang juara, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor FC di pentas final Piala Malaysia 2023 selepas kedua-dua pasukan diundi dalam laluan berbeza kecuali bertemu di final.

Pada final musim lalu, JDT mengalahkan Selangor FC 2-1.

Menerusi undian dijalankan secara maya oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL), hari ini, JDT, selaku juara sembilan kali berturut-turut Liga Super, diundi bertemu pasukan tercorot liga, Kelantan FC, dalam perlawanan yang dimulakan dengan pusingan 16 terbaik.

Skuad Harimau Selatan dilihat tidak berdepan masalah untuk mara ke suku akhir dan akan menentang antara pasukan Kelantan United dan Negeri Sembilan FC sebelum bertemu sama ada Perak FC, Kedah Darul Aman FC, Kuching City FC atau Sabah FC di peringkat separuh akhir.

Sementara itu, ancaman buat Selangor bermula seawal pusingan 16 terbaik selepas diundi bertemu PDRM FC, yang membuat kejutan menewaskan naib juara Piala Malaysia 2022 itu, 1-0, pada saingan Liga Super, 3 Jun lalu.

Jika berhasil melepasi halangan itu, skuad Gergasi Merah dijangka tidak berdepan masalah untuk mara ke suku akhir bertemu Terengganu FC atau satu kelab daripada Liga M3 sebelum menentang sama ada Sri Pahang FC, Penang FC atau seteru setempat Kuala Lumpur City FC di separuh akhir.

Mengikut format, pusingan 16 terbaik, suku akhir dan separuh akhir Piala Malaysia musim ini akan dijalankan secara timbal balik bermula pada Ogos, sementara aksi final dijangka berlangsung pada Disember.

Majlis undian tersebut disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Stuart Ramalingam dan bekas pemain kebangsaan, Razman Roslan.

Undian Pusingan 16 Piala Malaysia 2023

Kelantan FC mln JDT

Kelantan Utd mln Negeri Sembilan FC

Perak FC mln Kedah Darul Aman (KDA) FC

Kuching City FC mln Sabah FC

PDRM FC mln Selangor FC

Pasukan Liga M3 mln Terengganu FC

Pasukan Liga M3 mln Sri Pahang FC

Penang FC mln KL City FC. – BERNAMA