Empat bot fiber nelayan tempatan ditahan guna kru asing dan langgar syarat lesen selepas ditahan di Pantai Remis. - Gambar ihsan APMM Selangor.

KUALA LUMPUR – Akibat gagal mempamerkan lesen dan tidak mengemukakan sebarang dokumen kebenaran  – empat buah bot fiber yang sedang melakukan aktiviti perikanan di sekitar perairan Pantai Remis ditahan.

Kesemua bot itu ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor pukul 11.28 pagi hingga 11.45 pagi semalam.

Pengarah Maritim Selangor, Kapten Maritim V. Siva Kumar berkata, hasil risikan dalam Op Ehsan dan Op Tiris mendapati keempat-empat bot fiber berkenaan melakukan tangkapan di perairan tanpa sebarang lesen dan dokumen yang sah.

“Hasil pemeriksaan awal pasukan Maritim Malaysia mendapati, empat bot fiber itu dikendalikan dua warga Indonesia bagi setiap bot berumur lingkungan 26 tahun hingga 55 tahun,” katanya dalam kenyataan  hari ini.

Tambah Siva Kumar, pemeriksaan lanjut penguat kuasa maritim ke atas dokumen mendapati, tiga daripada bot berkenaan melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 kerana gagal mempamerkan lesen dan tidak mengemukakan sebarang dokumen kebenaran untuk bekerja di atas bot.

Katanya, syarat pengoperasian bot hendaklah diusahakan sendiri seperti nama yang tertera pada lesen bot serta melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/1963 kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

“Manakala sebuah lagi bot telah melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 kerana bot beroperasi tanpa lesen yang sah serta tiada nombor pendaftaran dan turut melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/1963 dimana tiada juga dokumen
pengenalan diri yang sah.

“Hasil soal siasat, difahamkan kesemua suspek telah dibayar gaji bulanan sebanyak RM1,000 dengan komisen tambahan mengikut jumlah hasil tangkapan.

“Kesemua mereka serta bot dibawa ke jeti Pasukan Polis Marin Pulau Indah sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut,” katanya.

Menurutnya, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap pelanggaran undang-undang di Zon Maritim Malaysia dan akan terus membuat rondaan serta pemantauan di perairan
negara. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast