Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas Himpunan Pelancaran Jentera Pemuda Perikatan Nasional di I-City Convention Centre (ICCC), Shah Alam, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 17 JUN 2023.

SHAH ALAM – Gabungan Pakatan Harapan (PH) dengan Barisan Nasional (BN) membentuk Kerajaan Perpaduan menyebabkan orang Melayu dan Cina marah kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa, kemarahan itu tercetus kerana pada PRU15, pengundi Cina mengundi PH kerana sama sekali tidak menyangka UMNO akan bersama DAP.

Begitu juga, katanya, bagi orang Melayu yang memilih UMNO dan BN pada November lalu kerana sedikit pun tidak menduga DAP akan bersama dengan UMNO.

“Akibatnya, antara sedar atau tidak, gabungan PH dan BN ini telah menimbulkan timbul situasi yang agak kritikal. Gabungan yang dianggap tidak secocok kerana telah menimbulkan pelbagai isu dan masalah.

“Antara masalah paling ketara ialah rundingan kerusi di enam negeri yang dikatakan sudah dibuat tetapi belum selesai sehingga hari ini.

“Kerana apa? Kerana dalam PH antara partinya adalah DAP dan dalamnya ada pula gabungan BN yang dalam BN itu ada UMNO,” katanya pada Himpunan Pelancaran Jentera Pemuda PN di I-City Convention Centre (ICCC)  petang ini.

Turut hadir, Pengerusi PN Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Ketua Pemuda PN, Fadhli Shaari dan bekas Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar.

Menurut Muhyiddin, sepanjang lebih 50 tahun menjadi ahli dan pemimpin UMNO, tidak pernah dalam sejarah, parti itu tiba-tiba boleh berpeluk dan bercium mulut dengan DAP.

“Saya pernah jadi ahli UMNO lebih daripada 50 tahun walaupun saya dipecat keluar. Tidak pernah dalam sejarah kami dalam UMNO dulu mengatakan kami boleh bekerjasama dengan DAP. Kenapa? Kerana idealoginya berbeza.

“DAP tidak sokong dasar diperjuangkan oleh parti kita. Masalah hak istimewa, agama Islam, soal orang Melayu dan sebagainya memang tidak terlintas oleh saya, satu hari UMNO akan bersama dengan PH yang di dalamnya ada DAP.

“Sekarang ini, mereka bukan sahaja tidur sebantal mimpi lain-lain tetapi telah berpeluk dan bercium mulut. Ini suatu perkara yang aneh dan luar biasa,” ujarnya.

Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu mempertikaikan di mana slogan “No Anwar, No DAP” dan apa sudah terjadi dengannya.

Mengenai himpunan itu, beliau menjelaskan, gelombang pelancaran jentera PN hari ini memberi isyarat kemenangan besar akan berpihak kepada PN.

Menurut beliau, jentera Pemuda PN  adalah barisan hadapan yang pastinya penting untuk menjadi benteng kuat dan kukuh bagi menempuh badai gelombang di enam negeri terutama Selangor.

Namun, PN akan menempa satu sejarah perubahan besar yang pastinya akan membawa kesan kepada kerajaan pusat.

Jelas beliau, selepas 100 hari Kerajaan Perpaduan terbentuk biasanya sudah ada satu perancangan yang jelas mengenai hala tuju masa depan yang hendak dibawa oleh Anwar.

Tetapi, dakwanya, sudah lebih enam bulan, formula demi formula yang dianjurkan oleh Rafizi Ramli langsung tidak ada suatu kenyataan yang jelas mengenai apa yang hendak dilakukan mereka.

“Kerajaan hari ini boleh bercakap pelbagai perkara untuk meletakkan negara ini ke suatu situasi lebih baik tetapi terbukti apa yang kita saksikan, tidak ada satu pun kenyataan jelas perancangan yang hendak dilakukan.

“Kerajaan juga tidak menyatakan bagaimana cara hendak melaksanakan rencana, apa yang telah pun dijanjikan dalam manifesto mereka dalam PRU lepas untuk dilaksanakan bagi kepentingan rakyat jelata.

“Saya pergi ke mana-mana di selatan, utara dan sekarang di Selangor, rata-rata rakyat marah dengan Kerajaan Perpaduan. Rakyat mengakui berhadapan dengan satu keadaan yang cukup menderita,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast