Zarina (kiri) bersama anak keduanya, Khairun Nabilah Mohd Shamsuri.

KUANTAN – Gugur air mata seorang ibu, Zarina Mohd Ali, 59 tatkala dipanggil menerima sijil diploma bagi pihak anak yang sudah meninggal dunia.

Meskipun gembira menerima sijil graduasi bagi pihak Allahyarhamah Khairun Nisha Mohd Shamsuri namun hatinya tersentuh mengenangkan anak bongsunya itu tidak sempat meraikan sendiri hasil usaha keras pengajiannya.

“Memang mak cik gembira (terima sijil bagi pihak Nisha) tapi mak cik sedih sebab Nisha tak dapat terima sijil sendiri.

“Sebab dia memang sangat meminati kursus ini, bahagian pengurusan pejabat, memang dia suka bergaya, berfesyen tapi dia tak sempat nak kerja dalam bidang itu,” luahnya mengenai anaknya yang berusia 22 tahun ketika meninggal dunia.

Zarina Mohd Ali

Nisha meninggal dunia pada 25 Mei baru-baru ini akibat komplikasi buah pinggang setelah seminggu dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di sebuah hospital.

Hari ini, suasana pilu menyelubungi seketika Dewan Utama Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) di sini dalam Majlis Konvokesyen dan Pentauliahan Kemahiran Malaysia, Kolej Yayasan Pahang Advanced Skills 2023 apabila Zarina yang berkerusi roda menerima sijil diploma bagi pihak Nisha.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail sendiri turun ke bawah pentas untuk menyampaikan sijil tersebut kepada Zarina yang merupakan ibu tunggal Orang Kurang Upaya (OKU).

Dalam majlis tersebut, Wan Rosdy meluangkan masa meraikan 290 graduan hari ini dimana 154 merupakan penerima sijil Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) dan 136 Sijil Kemahiran Malaysia (SKM).

Sementara itu, salah seorang graduan SKM yang diraikan hari ini, Nurul Amira Bahaznan, 31, teruja menerima sijil tamat pengajiannya hari ini.

Nurul Amira Bahaznan bersama ibu dan suaminya di Majlis Konvokesyen dan Pentauliahan Kemahiran Malaysia, Kolej Yayasan Pahang Advanced Skills 2023 di Dewan Utama MBK hari ini

Dia juga merupakan Penerima Anugerah Kecemerlangan Yayasan Pahang sebagai Graduan Terbaik Kursus SKM 3 Pembuatan Pakaian Wanita di Giat MARA.

“Banyak saya belajar berkenaan bidang ini di sini. Sekarang saya sudah bekerja lebih setahun di Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) sebagai tenaga pengajar,” katanya ketika ditemui.

Bercerita lanjut, ibu kepada tiga anak itu mendapat sokongan penuh dan inspirasi untuk meneruskan pembelajaran dalam bidang fesyen menerusi ibunya.

“Kalau ikutkan inspirasi datang daripada emak saya, guru saya. Dia yang bagi sokongan saya untuk ambil bidang ini, sampai ke peringkat tenaga pengajar. Tak sangka juga.

“Kalau ikut sebelum ini saya belajar SPM, STPM. Lambat sikit baru ambil sijil kemahiran. Minat tu datang daripada emak sejak saya kecil,” ulasnya lagi. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Tiada siapa yang tahu hati makcik menangis