Gambar hiasan

ALOR SETAR – Kementerian Pendidikan (KPM) menyasarkan untuk meningkatkan enrolmen murid di prasekolah kepada 90 peratus berbanding 80 peratus ketika ini sebagai langkah awal mengekang keciciran di peringkat sekolah rendah dan menengah.

Menterinya Fadhlina Sidek berkata bagi mencapai sasaran itu KPM akan membuka lebih banyak prasekolah selain melakukan kempen advokasi kepada ibu bapa untuk menggalakkan mereka menghantar anak-anak ke prasekolah bagi mendapatkan pendidikan awal.

“Enrolmen prasekolah (ketika ini) adalah sekitar 80 peratus, sekolah menengah lebih kurang 78 peratus jadi agak rendah berbanding dengan sekolah rendah yang kita wajibkan itu iaitu pada kadar 98 peratus.

“Jadi kita ada dua segmen pelajar yang perlu kita beri tumpuan enrolmennya iaitu prasekolah dan juga sekolah menengah,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Sesi Motivasi bersama Cikgu Menteri di sini malam tadi.

Beliau berkata antara faktor kadar enrolmen prasekolah rendah adalah disebabkan kemiskinan iaitu ibu bapa tidak mampu menghantar anak mereka ke prasekolah, selain kekurangan kelas prasekolah yang sedang ditangani di peringkat kementerian.

Ditanya sama ada KPM berhasrat mewajibkan pendidikan prasekolah seperti sekolah rendah, Fadhlina berkata pihaknya akan menyelesaikan dahulu isu-isu berkaitan prasekolah sebelum meneliti perkara itu.

Mengulas mengenai keciciran di peringkat sekolah menengah, beliau berkata Rang Undang-Undang (RUU) mewajibkan pendidikan di peringkat sekolah menengah yang akan dibentangkan di Parlimen dijangka dapat memastikan pelajar kekal bersekolah sehingga tamat tingkatan lima.

“Sekolah menengah ini drop out (tercicir), orang tak sambung belajar ini disebabkan oleh macam-macamlah, kemiskinan, bekerja, kahwin, hamil dan memang mahu berhenti atau terlibat dengan pelbagai isu-isu sosial.

“Jadi untuk kekang isu-isu ini kita perlu juga ada dasar pendidikan wajib untuk sekolah menengah supaya mereka boleh kekal di sekolah sehingga tingkatan lima,” katanya.- BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast