Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Chan Foong Hin pada Majlis Perasmian Klon dan Inovasi Kopi Liberica Baharu MARDI di sini hari ini.Majlis Perasmian Klon dan Inovasi Kopi Liberica Baharu MARDI di Kluang hari ini.

KLUANG – Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) berjaya menghasilkan tiga klon baharu kopi jenis Liberica sekaligus diyakini mampu memacu pertumbuhan industri minuman itu dalam negara.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Chan Foong Hin berkata, penanaman klon baharu itu juga diharap meningkatkan pendapatan pengusahanya sekaligus mengurangkan kebergantungan negara terhadap kopi import.

“Analisis ekonomi mendapati penggunaan kopi di Malaysia dijangka meningkat dari 600,000 kilogram (kg) pada 2020 kepada 800,000 kg pada 2022.

“Bagaimanapun menurut rekod Malaysia hanya mampu mengeluarkan 0.16 peratus dari pengeluaran kopi peringkat global.

“Malaysia mengimport 97 peratus kopi bagi penggunaan dalam negara. Dengan erti kata lain, pengeluaran kopi tempatan hanya mampu memenuhi tiga peratus permintaan dalam negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Klon dan Inovasi Kopi Liberica Baharu MARDI di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Lembaga Pengelola MARDI, Dr Azman Ismail.

Foong Hin berkata, industri kopi negara tidak terkecuali berdepan cabaran daripada komoditi lain termasuk kelapa sawit.

Selain itu, katanya, terdapat persaingan negara jiran dan proses penuaian tanaman kopi secara manual.

Dalam pada itu, MARDI berjaya menemui kaedah keratan yang mempercepatkan proses pengeluaran tanaman kopi Liberica iaitu hanya selama sembilan bulan berbanding kaedah konvensional (cantuman baji) mengambil masa lebih lama iaitu 16 bulan.

“Kita percaya dengan penjimatan masa selama lapan bulan, teknologi ini juga dapat menghasilkan anak pokok kopi tapa menggunakan pokok penanti,” katanya.

Kaedah penghasilan anak pokok menggunakan keratan tanpa pokok penanti membantu menjimatkan kos pengeluaran, tenaga buruh, masa dan input-input lain yang berkaitan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast