Gambar tular konsert di UMT baru-baru ini.

KOTA TINGGI – Semua institusi pengajian tinggi awam (IPTA)  di negara ini perlu  melakukan penilaian risiko terhadap sebarang penganjuran aktiviti sosial termasuk konsert.

Menteri Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ia bagi memastikan pengisian program yang dijalankan tidak mencemari imej universiti awam.

“Dia harus difahami bahawa ini semua kegiatan-kegiatan pelajar. Yang jadi penganjur pun pelajar manakala soal penganjuran konsert bukan perkara yang baru kalau kita lihat pada setiap konvokesyen memang ada program-program antaranya ialah penganjuran konsert.

“Tetapi dalam konteks akhir-akhir ini, oleh kerana ada insiden yang mungkin mencemarkan sedikit pengisian konsert saya tak ada meminta pihak universiti supaya lebih berhati-hati supaya pihak universiti pastikan dalam nak menganjurkan sesuatu konsep perlu ada lakukan penilaian risiko.

“Susulan insiden yang berlaku di UMT (Universiti Malaysia Terengganu) walaupun kementerian ada mengeluarkan surat atau arahan berhenti  tetapi pihak pihak penganjur terutamanya para pelajar boleh berjumpa dengan bahagian hal ehwal pelajar universiti masing-masing untuk berbincang untuk tujuan mengawal perkara ini.

“Kalau para pelajar boleh berjumpa dengan pihak Timbalan Naib Canselor hal ehwal pelajar Saya percaya satu keputusan yang manfaat dapat dicapai,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas lawatan ke Felda Bukit Easter di Kota Tinggi hari ini.

Bagaimanapun, menurut Mohamed Khaled, tiada sebarang tindakan dikenakan kepada UMT.

“Tiada tindakan dikenakan kepada UMT kerana ia dianjurkan oleh pelajar jadi dalam apa yang berlaku itu mungkin keadaan yang tidak terkawal jadi ia juga memberi kita pengalaman dan  jangkaan apabila berlakunya penganjuran seperti ini, sekurang-kurangnya ia  beri kita pengalaman,” katanya.

Terbaru tular sebuah video konsert yang kononnya berlangsung di dalam dewan sebuah IPTA di Terengganu, baru-baru ini.

Video berdurasi 37 saat yang menunjukkan penganjuran sebuah konsert yang berlangsung di dalam dewan di universiti berkenaan.

Video tular itu memaparkan pelajar lelaki dan perempuan universiti itu hadir menyaksikan konsert tersebut.-MalaysiaGazette