Muhyiddin.

GEORGE TOWN – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak menolak kemungkinan siasatan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) ke atas Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainuddin bermotifkan politik.

Muhyiddin turut menyifatkan siasatan itu sama seperti dikenakan terhadap beliau sebelum ini serta pemimpin-pemimpin parti komponen PN.

“Saya rasa begitu (siasatan LHDN terhadap Hamzah bermotifkan politik), tidak ada sebab lain nampaknya semua tertumpu pada Bersatu, Pas.

“Jadi pihak berkenaan perlu menghentikan siasatan bermotifkan politik dan memberi peluang kepada semua individu kerana ini negara berdemokrasi.

“Kecuali mereka melakukan sesuatu yang salah, itu perkara lain, terpulang kepada polis untuk melakukan siasatan, bukannya mengambil tindakan semata-mata untuk kepentingan politik. Itu saya rasa tidak adil,” katanya.

Terdahulu, Muhyiddin menghadiri Konvensyen dan Majlis Pelancaran Jentera Perikatan Nasional Pulau Pinang di Pejabat Gerakan negeri di Jalan Macalister hari ini.

Media hari ini melaporkan Hamzah yang juga Ketua Pembangkang  enggan melayan laporan yang mendakwa kediamannya ‘diserbu’ LHDN pada Selasa lalu.

Setiausaha Agung PN itu berkata, terlalu banyak fitnah ditaburkan ke atasnya dan beliau akan mengambil tindakan termasuk saman terhadap mereka yang berbuat demikian. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast