Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki beramah mesra dengan para tetamu selepas Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tiga Tahunan Kali Ketiga Malaysian Corruption Watch (MCW) di Universiti Putra Malaysia (UPM), Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 17 JUN 2023.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih lagi menyiasat laporan mengaitkan sebuah parti politik dengan dana yang diterima daripada syarikat perjudian.

Perkara itu disahkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki yang memberitahu, beliau tidak boleh mendedahkan nama parti politik terbabit namun mengesahkan siasatan ada dibuat selepas mendapat aduan mengenainya.

“Saya tak boleh nak mengatakan melibatkan mana-mana parti yang dinamakan. Cuma kita mengesahkan akan menyiasat dan sedang pun menyiasat laporan yang diterima berhubung ada parti politik yang dikatakan dibiayai oleh pihak-pihak judi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ketiga Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) di Serdang hari ini.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said memaklumkan, SPRM belum dapat membuktikan dakwaan Perikatan Nasional (PN) menerima dana daripada syarikat perjudian untuk berkempen dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) namun kes siasatan masih terbuka.

Perkara itu diberitahu oleh Azalina menerusi jawapan bertulisnya di Dewan Rakyat.

Beliau berkata, SPRM sudah menjalankan kajian terperinci berkaitan perkara tersebut namun mendapati maklumat yang diberikan terlalu umum dan tiada pihak yang boleh mengesahkan isu berkenaan.

Justeru, katanya, tiada apa-apa fail siasatan dibuka ke atas isu itu.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sidang medianya mendedahkan kemungkinan PN memperoleh dana politik dari syarikat berkaitan perjudian bagi membiayai perbelanjaan pilihan raya.

Anwar berkata, Kementerian Kewangan juga mendapati “pelanggaran” dalam pemberian kontrak berjumlah RM600 bilion tanpa tender.

Dalam laporan itu, Anwar dipetik sebagai berkata, dana pilihan raya untuk parti “Melayu” dan parti “Islam” datang dari syarikat perjudian.

Sementara itu, Azam juga mengesahkan pihaknya menerima maklumat berhubung pendedahan aktiviti judi dalam talian dinaungi pemimpin politik.

Tegasnya, ketika ini, siasatan juga sedang dijalankan oleh pihaknya dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani semalam berkata, mereka berkongsi maklumat bersama SPRM dalam menyiasat pendedahan pembabitan pemimpin politik dengan aktiviti dalam talian.

Menurut Acryl, perkongsian itu bertujuan untuk mengesahkan pendedahan dibuat Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail di Dewan Rakyat semalam, selain menjalankan siasatan lanjut berhubung perkara itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast