KUALA LUMPUR – Bekas pemimpin Pas, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali mendakwa ‘pemikiran menyeleweng Pas’ mengenai istilah-istilah agama telah mempengaruhi ramai pelajar daripada jurusan agama terutama yang menuntut di Jordan dan Mesir.
Beliau mendakwa, pelajar terbabit terpengaruh dengan ‘pemikiran berkenaan’ ketika mengikuti tarbiyah organisasi Pas.
Khairuddin mendakwa, Pas menyeleweng apabila mendakwa sesiapa yang berhenti daripada organisasi Pas dilabel sebagai ‘meninggalkan perjuangan Islam’ kerana perjuangan Islam itu diyakini hanya milik Pas sahaja.
“Ustaz-ustaz ini apabila pulang ke Malaysia menjadi guru-guru agama di sekolah kerajaan dan pensyarah pengajian Islam di universiti tetapi mereka kekal berpendirian yang sama mencanggahi tafsiran yang sebenar oleh para ulama Islam dalam kitab-kita muktabar rujukan Islam.
“Bagaimana ilmuwan-ilmuwan ini boleh mengekalkan tafsiran menyeleweng ini atau mendiamkan diri atas penyelewengan kerana dikaburi oleh penggabungan diri mereka sebagai ahli Pas,” katanya.
Jelas beliau, kefahaman tersebut adalah salah dan bercanggah dengan pandangan ulama muktabar.
Khairuddin menambah, sikap fanatik turut menyebabkan sesiapa sahaja yang meninggalkan parti tersebut dilabel sebagai ‘gugur daripada medan dakwah’.
Jelasnya, hakikatnya perjuangan Islam adalah milik semua dan tidak terikat dengan mana-mana organisasi.
Khairuddin yang juga Setiausaha Eksekutif Majlis Ulama UMNO berkata, ustaz-ustaz berkenaan, meskipun tidak aktif dengan organisasi Pas tetapi berkongsi pemikiran berkenaan dan memutuskan hubungan persaudaraan dengan sahabat mereka yang meninggalkan Pas.
Mereka secara terbuka menyebut “ukhuwwah kami hanya apabila anta dalam Pas bukan bila anta sudah meninggalkan Pas”.
“Bayangkan jika para ustaz keluaran Jordan yang menjadi guru agama di sekokah dan pensyarah di universiti berfikiran sebegitu bagaimana pula anak-anak murid mereka dan ahli-ahli parti yang tidak mendalami Islam?
“Tulisan ini pastinya pahit untuk ditelan oleh rakan-rakan saya di kalangan ustaz-ustaz dalam Pas termasuk yang sepengajian dengan saya di Jordan.
“Dan pastinya ia akan melahirkan respon berbentuk kecaman termasuk makian tapi bukannya respon ilmu dan akademik,” katanya.
Beliau menegaskan, semua yang bertanggungjawab terhadap ilmu dan terhadap Islam perlu membetulkan tafsiran-tafsiran tersebut kerana ia adalah kemungkaran yang mesti ditegas dan dicegah.-MalaysiaGazette