Ketua UMNO Bahagian Sabak Bernam, Datuk Rizam Ismail

SABAK BERNAM – Jangkaan kemenangan Perikatan Nasional (PN) dengan 33 kerusi di Selangor dan 20 kerusi di Pulau Pinang ditimbulkan pemimpinnya semata-mata untuk memecahbelahkan pengundi di dua negeri tersebut.

Ketua UMNO Bahagian Sabak Bernam, Datuk Rizam Ismail berkata, angka-angka itu sengaja dimainkan bagi mengaburi mata pengundi di mana PN tidak bersedia bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri.

“Sudah pasti angka-angka ini hanya momokan dimainkan untuk menarik perhatian, kalau mereka benar-benar bersedia, mereka tak sebut pun.

“Data yang kita ada tak begitu, kalau kita lihat keputusan PRU15, Pakatan Harapan (PH) masih memenangi banyak kerusi di Selangor, kalau kawasan Parlimen itu dipecahkan mengikut Dewan Undangan Negeri (Dun).

“Dari sudut data sebenar, mungkin itu keyakinan mereka timbulkan untuk memecahbelah atau merosakkan pemikiran masyarakat untuk menggambarkan seolah-olah hari ini PN dapat sokongan,” katanya kepada MalaysiaGazette, di sini, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan Pengerusi PN Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyatakan pembangkang yakin mampu memenangi 33 daripada 56 kerusi DUN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di Selangor akan datang.

Dalam pada itu, Rizam memberitahu, sentimen nasional tidak berkesan untuk dibawa berkempen dalam PRN kali ini dan atas faktor itu dilihat boleh memberi kelebihan kepada calon Perpaduan.

“Akhirnya rakyat di Selangor akan melihat dan menilai pentadbiran kerajaan negeri hari ini yang berjalan dengan baik dan itu menjadi kekuatan kepada rakyat untuk mengekalkan kerajaan sedia ada.

“Lebih-lebih lagi hari ini kerajaan negeri sudah menjadi kerajaan yang sama di peringkat persekutuan dan momentum itu perlu dikekalkan,” katanya.

Keupayaan PH mengekalkan kemenangan susulan kesediaan DAP untuk membantu memenangkan calon Perpaduan daripada UMNO dan BN.

“Saya yakin dan percaya kerana fokus kita hari ini mewujudkan kestabilan politik untuk memastikan ekonomi negara dapat dipacu dengan baik.

“Matlamat kita untuk memastikan kesejahteraan rakyat, bukan semata-mata agenda politik, gabungan itu perlu menjadi dan perkhidmatan kepada rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast