Shaiful Haziziy
ALOR SETAR – UMNO Kedah perlu memastikan 50 peratus penyokongnya kembali dan mengundi parti itu jika mahu membantu Kerajaan Perpaduan menang di negeri itu.

Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, UMNO mempunyai 310,000 ahli berdaftar di Kedah tetapi jumlah yang sanggup keluar mengundi atau yang bertukar mengundi PN adalah sukar dijangkakan.

“Cabaran utama kami adalah memastikan sekurang-kurangnya 50 penyokong akan kembali mengundi parti.

“Kami memerlukan sokongan ini jika mahu melawan kekuatan yang ditunjukkan Pas di Kedah seterusnya membantu kemenangan Kerajaan Perpaduan di Kedah,” katanya kepada Sinchew Daily.

Dalam pilihan raya umum lalu, BN mendapat sokongan 19.46 peratus di Kedah, menandakan terdapat ahli UMNO yang tidak keluar mengundi atau mengundi parti lawan.

PN pula mendapat sokongan 54.96 peratus dan menang besar.

Di belakang PN pula adalah PH yang mendapat 23.28 peratus sokongan.

Mengulas kesiapsiagaan UMNO, Shaiful Hazizy berkata, parti itu dan sayapnya telah bersedia berdepan pilihan raya pada bila-bila masa.

Katanya, pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memperuntukkan RM1.6 bilion untuk membasmi kemiskinan di Kedah akan memberi kelebihan kepada Kerajaan Perpaduan.

Beliau berkata, menteri-menteri Persekutuan juga giat mengunjungi Kedah untuk meningkatkan sokongan pengundi.

Menurutnya, UMNO akan membantu rakan-rakan dalam Kerajaan Perpaduan, termasuk DAP, untuk berkempen di Kedah.

Dalam pilihan raya negeri lalu, UMNO sekadar menang tiga kerusi di Kedah iaitu di Bandar Baharu,  Guar Chempedak dan Sungai Tiang, tetapi wakil Guar Chempedak, Datuk Ku Abd. Rahman Ku Ismail telah meninggalkan UMNO dan menyertai Bersatu. – MalaysiaGazette