Komisioner Khaw Kok Chin .

GEORGE TOWN – Seorang wanita yang sedang hamil enam bulan ditahan bagi membantu siasatan memuat naik kandungan di media sosial berbaur penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berhubung penganugerahan pingat kepada Tan Sri Lim Kit Siang.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, wanita berusia 32 tahun itu ditahan di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara, dekat sini 13 Jun lepas.

“Pada 7 Jun 2023, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima laporan daripada orang awam mengenai beberapa kandungan di media sosial yang berupaya menjejaskan ketenteraman awam.

“Susulan itu, pada 13 Jun 2023 pihak Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman telah menahan seorang wanita bagi membantu siasatan berhubung memuat naik kandungan di media sosial berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, berdasarkan siasatan awal, selain penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong, wanita itu juga dipercayai turut mengaitkan Lim sebagai pencetus rusuhan 13 Mei 1969.

Khaw berkata, susulan penahanan wanita itu, polis merampas beberapa bahan bukti antaranya komputer riba, telefon bimbit dan kad sim milik wanita itu untuk siasatan lanjut.

Beliau berkata, wanita berkenaan kemudian dibebaskan dengan jamin polis pada hari sama kerana mendakwa sedang mengandung enam bulan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 oleh USJT Bukit Aman. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast