KUALA LUMPUR – Adakah Presiden Gerakan, Datuk Dominic Lau akan menjadi calon Ketua Menteri Pulau Pinang untuk Perikatan Nasional (PN)?
Veteran DAP, Tan Sri Lim Kit Siang berkata, persoalan itu timbul berikutan gabungan kenyataan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Dominic Lau pada dua hari lepas.
“Soalan ini membangkitkan tiga soalan lagi, adakah Dominic sebagai Ketua Menteri PN yang dilantik telah mendapat persetujuan Gerakan Pulau Pinang khususnya Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Oh Tong Keong?
“Adakah Gerakan akan mendapat bilangan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) terbanyak di Pulau Pinang dalam PeN untuk bertanding dalam pilihan raya umum Pulau Pinang akan datang atau adakah pemimpin Gerakan akan mengikut kehendak kedua-dua pemimpin Pas dan Bersatu?
“Dan sama ada Dominic akan memenangi kerusi di DUN di Pulau Pinang dan sama ada beliau akan dapat mengekalkan depositnya,” soal Kit Siang.
Bekas Setiausaha Agung DAP secara sinis bertanya sama ada Dominic mahu rakyat Pulau Pinang memilih menjadi ‘pengembala babi’ atau ‘pengembala lembu’.
“Terdapat satu lagi soalan yang boleh dijawab oleh Dominic Lau: Adakah beliau mahu rakyat Pulau Pinang memilih sama ada menjadi pengembala babi atau pengembala lembu.
“Dan adakah beliau bersedia untuk memberitahu secara terbuka kepada Presiden Pas, Hadi Awang mengapa beliau silap.
“Bolehkah PN dan Gerakan menjawab soalan-soalan ini? Saya tidak fikir begitu,” kata Kit Siang dalam satu artikel di blognya hari ini.
Dominic mengesahkan beliau akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang akan datang di kerusi DUN Seberang Perai.
Pembahagian kerusi bagi PRN akan dimuktamadkan antara parti komponen PN pada Rabu depan bertempat Ibu Pejabat PN di Kuala Lumpur.
Pulau Pinang memiliki 40 kerusi DUN dan pada Pilihan Raya Umum ke-14, Pakatan Harapan memenangi 37 kerusi termasuk dua daripada calon Bersatu yang ketika itu masih bersamanya manakala Barisan Nasional memenangi dua kerusi dan satu dimenangi Pas.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dilaporkan berkata, kerajaan negeri bercadang membubarkan DUN Pulau Pinang pada 28 Jun ini bagi memberi laluan kepada PRN.- MalaysiaGazette