KUALA LUMPUR – Masih terdapat banyak usaha yang perlu dilakukan oleh Malaysia untuk memerangi pelanggaran hak asasi manusia yang serius dan menggesa kerajaan untuk terus mengutamakan usaha mencegah pemerdagangan manusia, melindungi mangsa dan memastikan pelaku bertanggungjawab.
Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia, Prof. Datuk Dr. Rahmat Mohamad meminta kerajaan meningkatkan usaha menghalang dan menerajui pembasmian pemerdagangan orang dan penyeludupan migran, dan memastikan perlindungan sepenuhnya serta bantuan kepada mangsa-mangsa pemerdagangan dan penyeludupan di setiap peringkat.
Menurutnya, walaupun status Malaysia dinaik taraf daripada Tahap 3 kepada Senarai Pemerhatian Tahap 2, menandakan kemajuan yang ketara dalam menangani isu pemerdagangan manusia namun negara ini perlu kekal komited untuk membasmi masalah ini.
Saranan ini selari dengan standard antarabangsa yang ditetapkan oleh Protokol Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). untuk mencegah, menyekat dan menghukum pemerdagangan orang, terutama wanita dan kanak-kanak, iaitu sebagai protokol kepada Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menentang Jenayah Terancang Merentas Negara.
“Kerjasama antara kerajaan, organisasi masyarakat sivil dan pihak berkepentingan yang relevan adalah penting untuk merealisasikan objektif Pelan Tindakan Kebangsaan mengenai Antipemerdagangan Orang 2021-2025 (NAPTIP 3.0) dan Pelan Tindakan Kebangsaan Mengenai Buruh Paksa 2021-2025 (NAPFL).
“Kerjasama sedemikian akan mengukuhkan tindak balas Malaysia terhadap pemerdagangan orang, melindungi kesejahteraan dan hak semua individu di dalam negara, dan menyumbang kepada penghapusan amalan yang terkutuk ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Suhakam yang memuji usaha bersepadu Kerajaan Malaysia dan semua pihak berkepentingan dalam meningkatkan kedudukan TIP negara menyifatkan langkah-langkah yang diambil mencerminkan komitmen yang kukuh untuk memerangi pemerdagangan orang dan mengiktiraf kepentingan untuk
keluar dari Tahap 3 bagi mengelakkan sekatan eksport produk-produk tempatan. – MalaysiaGazette