Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bergambar dengan tetamu yang hadir selepas Majlis Perasmian Program Graduan Pasaran Modal di Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 19 JUN 2023.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap syarikat tempatan dapat mempertimbangkan pemberian elaun setimpal kepada pelajar latihan industri di negara ini.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan tidak menetapkan satu kadar untuk elaun terbabit namun bayaran yang diberikan itu sedikit sebanyak dapat membantu kos sara hidup mereka.

“Kepada syarikat-syarikat, bagilah elaun yang munasabah kepada mahasiswa kita kerana perjalanan tambang, makan mereka kena ambil kira.

“Saya bagi pihak anak-anak mahasiswa nak sampaikan keluhan mereka untuk diberi pertimbangan mengenai bayaran elaun. Saya harap ada pertimbangan baik dari pihak saudara (majikan) untuk naikkan sedikit elaun,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Rasmi Program Graduan Pasaran Modal yang kini dikenali InvestED di Suruhanjaya Sekuriti hari ini.

Beliau berkongsi pengalamannya dengan salah seorang pelajar Tingkatan Enam ketika program Temu Anwar di Universiti Malaysia Kelantan semalam yang tampil dengan soalan berhubung apakah usaha kerajaan terhadap isu pelajar latihan industri yang tidak menerima sebarang bayaran daripada pihak majikan.

Kelmarin, Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar berkata, kerajaan akan meneliti isu bayaran elaun pelajar yang menjalani latihan industri susulan laporan terdapat pelajar yang menjalani latihan industri di kementerian, agensi atau jabatan kerajaan serta syarikat swasta, tidak dibayar elaun.

Sementara itu, InvestED merupakan inisiatif terbaharu pasaran modal yang akan meningkatkan kebolehpasaran graduan serta membangunkan saluran bakat mampan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast