KUALA LUMPUR – Kadar duti setem bagi saham didagangkan di Bursa Malaysia akan dikurangkan daripada 0.15 peratus pada masa ini kepada 0.10 peratus nilai kontrak tertakluk kepada had maksimum RM1,000 setiap kontrak.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pengurangan kadar yang akan berkuat kuasa Julai ini secara langsung mengurangkan kos transaksi sekuriti dan menjadikan pasaran saham tempatan lebih berdaya saing.
Beliau yang juga Menteri Kewangan meluahkan keyakinan langkah tersebut akan merangsang pasaran dan meningkatkan daya tarikannya.
“Peningkatan kecairan pasaran akan menarik lebih banyak dana domestik dan asing ke dalam pasaran saham Malaysia, sekali gus menggalakkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk meneruskan tawaran awam permulaan (IPO).
“Ia turut memudahkan syarikat tersenarai awam mengumpul dana untuk mengembangkan perniagaan mereka dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Rasmi Program Graduan Pasaran Modal yang kini dikenali InvestED di Suruhanjaya Sekuriti di sini hari ini. – MalaysiaGazette