Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz hadir pada Persidangan Dewan Negara di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’M, 19 JUN 2023.

KUALA LUMPUR – Kerajaan  akan sentiasa mencari jalan untuk menambah baik strategi dan pendekatan bagi memperkukuh ekosistem dan fasilitasi pelaburan negara.

Menurut Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, pihaknya dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) sentiasa berusaha keras bagi memastikan pelaburan negara lebih berdaya saing dan kondusif.

Ia bagi meningkatkan pelaburan langsung domestik (DDI) dan pelaburan langsung asing (FDI) yang berkualiti dan berimpak tinggi.

“MITI menerusi MIDA telah melaksanakan pendekatan berfokus bagi memastikan penggalakan pelaburan asing dan domestik meliputi projek yang berkualiti, bernilai ditambah dan berteknologi tinggi bagi melengkapkan ekosistem serta rantaian bekalan industri yang disasarkan negara,” katanya dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini.

Tengku Zafrul berkata demikian mengulas soalan Senator Tan Sri Low Kian Chuan yang ingin tahu apakah sasaran Pelaburan Langsung Domestik (DDI) bagi tahun 2023 berbanding dengan Pelaburan Langsung Asing (FDI) dan apakah langkah-langkah Kerajaan untuk merangsang pelaburan perusahaan bersaiz mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Dalam pada itu, Tengku Zafrul berkata, bagi tahun 2022, sejumlah RM267.8 bilion pelaburan daripada 4,517 projek yang diluluskan daripada pelbagai sektor ekonomi (sektor utama, perkilangan dan perkhidmatan) di Malaysia dijangka menjana 140,440 peluang pekerjaan dengan pelaburan domestik menyumbang sebanyak RM104.4 bilion (38.9 peratus) kepada jumlah tersebut.

“Bagi suku pertama 2023, Malaysia telah menarik komitmen pelaburan berjumlah RM74.1 bilion, iaitu peningkatan 60 peratus tahun-ke-tahun.

“Paling ketara, nisbah FDI kepada DDI adalah hampir 50:50, iaitu 52.5 peratus bagi FDI dan 47.5 peratus bagi DDI. Ini jelas mencerminkan keyakinan syarikat dan perniagaan tempatan terhadap dasar kerajaan semasa,” katanya lagi.

Sehingga 31 Mei lalu, terdapat 743 projek dalam peringkat rundingan, atau penilaian dengan jumlah cadangan pelaburan sebanyak RM50.6 bilion dengan DDI sebanyak RM8 bilion atau 15.7 peratus manakala FDI sebanyak RM42.7 bilion atau 84.3 peratus.

Jumlah pelaburan tersebut merangkumi projek daripada sektor perkilangan dengan cadangan pelaburan sebanyak RM37.5 bilion yang melibatkan 61 cadangan projek.

Setakat 2 Jun, 2023, MITI melalui MIDA telah berjaya mendapatkan komitmen pelaburan FDI berjumlah RM23.07 bilion melalui misi pelaburan ke Jepun, RM170 bilion melalui misi pelaburan ke China, RM24 bilion melalui misi pelaburan ke Korea Selatan dan RM13 bilion melalui misi pelaburan ke Singapura. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast