Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek bergambar bersama murid yang menyertai acara sejuta lompatan sokongan pada Karnival Perpaduan Madani 2023 sempena "Top 10 World's Best School Prizes" di Sekolah Kebangsaan Kanchong Darat, Banting. Foto MOHD ADZLAN 19 JUN 2023.

BANTING – Kementerian Pendidikan (KPM) akan terus memberi peluang kedua kepada pelajar yang tercicir untuk menduduki ujian Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, KPM juga menawarkan peluang menceburi bidang lain menerusi Pendidikan Teknikal Latihan Vokasional (TVET) yang dibuka seluas-luasnya kepada pelajar yang mendapat keputusan kurang memuaskan.

“Peluang sentiasa dibuka, kita terus sambut apa yang Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebut semalam, soal peluang kedua, soal menduduki semula (SPM) kita akan bantu.

“Soal untuk menentukan hala tuju, bimbingan dan kaunseling, kita akan bantu. Ini termasuk jika mereka memerlukan kemudahan sokongan barangkali kewangan, dan melihat kepada setiap kes, apa yang kita boleh bantu di peringkat KPM, kita akan bantu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Karnival Perpaduan Madani 2023 Sempena Top 10 World’s Best Chool Prizes di Sekolah Kebangsaan (SK) Kanchong Darat hari ini.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berucap ketika hadir ke Karnival Perpaduan Madani 2023 sempena “Top 10 World’s Best School Prizes” di Sekolah Kebangsaan Kanchong Darat, Banting. Foto MOHD ADZLAN 19 JUN 2023.

Semalam, media melaporkan Anwar mengarahkan Menteri Pendidikan itu untuk mencari hampir 30,000 pelajar yang tercicir ujian SPM pada tahun lalu.

Dalam perkembangan sama, Fadhlina berkata, KPM mempunyai pelan intervensi yang boleh diambil bagi memastikan 30,000 pelajar terbabit diberi peluang kedua.

“Dalam sistem pengesanan kita di KPM, ada sistem untuk mengesan mereka sekurang-kurangnya dua tahun dalam radar kita. Jadi dalam tempoh dua tahun ini, kita boleh buat pelbagai intervensi.

“Sebagai contoh, kita memperkukuhkan Tingkatan enam, jadi mereka yang berhasrat untuk sambung belajar di peringkat itu, kita boleh beri bantuan khususnya kepada golongan B40 serta TVET dan pastinya menduduki semula sekiranya ada matapelajaran tertentu yang diperlukan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Fadhlina juga bersedia untuk berjumpa dengan mana-mana pemegang taruh sektor pendidikan bagi memastikan pembangunan ekosistem pendidikan. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast