Foto mesyuarat bersama wakil Telegram dikongsi Fahmi Fadzil di media sosial.

KUALA LUMPUR – Syarikat perkhidmatan permesejan segera dan protokol internet, Telegram bersetuju untuk menjalinkan kerjasama yang lebih erat dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) Malaysia dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menurut Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil, komitmen berkenaan dinyatakan wakil Telegram dalam mesyuarat yang turut dihadiri Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani di Ibu Pejabat PDRM, Bukit Aman hari ini.

“Saya menegaskan bahawa terlalu banyak kes jenayah seperti penipuan pelaburan palsu, pedofilia, pornografi dan jenayah dalam talian lain berlaku di Telegram.

“Saya dan PDRM turut menyampaikan pandangan tegas berhubung peri penting pihak Telegram dan mana-mana aplikasi pemesejan atau media sosial untuk sentiasa akur dan patuh kepada undang-undang Malaysia.

“Pihak Telegram menyatakan komitmen dan bersedia menjalinkan hubungan kerja yang lebih erat dengan SKMM dan PDRM,” kata Fahmi dalam kenyataan.

Menurut Fahmi, pertemuan tersebut adalah permulaan yang baik dalam kerjasama rentas agensi bagi memastikan Telegram lebih selamat untuk digunakan oleh masyarakat.

Awal bulan ini, Fahmi dilaporkan menggesa Telegram untuk bertemu dengan SKMM berhubung pelbagai isu keselamatan siber.

Pada 28 Mei, Telegram dilaporkan berkata, pihaknya tidak bekerjasama dengan Kementerian Komunikasi dan Digital kerana enggan terlibat dalam “sebarang bentuk tapisan politik”.

Jurucakapnya Remi Vaughn berkata, pihaknya secara giat memantau kandungan berbahaya dalam platform itu, termasuk penjualan bahan terlarang dan lucah.-MalaysiaGazette