Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Tan Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengangkat sumpah sebagai Yang Dipertua Dewan Negara yang ke-19 ketika menghadiri Persidangan Dewan Negar di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 19 JUN 2023.

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Tan Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengangkat sumpah sebagai Yang Dipertua Dewan Negara yang Ke-19 hari ini.

Pemahsyuran itu diumumkan Setiausaha Dewan Negara, Muhd Sujairi Abdullah kerana hanya terdapat satu sahaja calon yang dicadangkan.

Cadangan nama Wan Junaidi diserahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Saya mohon mencadangkan Senator Tan Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dipilih sebagai Yang Dipertua Dewan Negara, dan mengikut peraturan mesyuarat 2 (1), saya telah memastikan untuk bahawa beliau bersetuju untuk berkhidmat untuk dipilih,” katanya di Dewan Negara hari ini.

Cadangan itu disokong Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Dalam pada itu, Datuk Nor Jazlan Mohamed pula dipilih sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara berdasarkan kepada 43 undi yang diterima dan Senator Datuk Razali Idris hanya menerima 11 undi.

Bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed mengangkat sumpah jawatan sebagai Ahli Dewan Negaradi Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 19 JUN 2023.

Terdahulu, Nor Jazlan Mohamad dan Razali dicadangkan sebagai calon-calon bagi jawatan Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara.

Nur Jazlan dicadangkan oleh Anwar dan Razali dicadangkan oleh Presiden Gerakan, Datuk Dominic Lau.

Wan Junaidi dipilih sebagai Speaker Dewan Negara menggantikan Tan Sri Raia Yatim yang tamat perkhidmatan pada 16 Jun lalu.

Beliau menjadi Ahli Parlimen Batang Lupar mulai 1990 hingga 2004 sebelum bertukar ke kawasan Santubong sehingga bersara tahun lalu.

Dalam Kabinet Persekutuan, beliau pernah memegang beberapa jawatan penting bermula sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri pada 16 Mei 2013 hingga 29 Julai 2015.

Beliau kemudian dinaikkan pangkat sebagai Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar pada 29 Julai 2015 hingga 10 Mei 2018.

Pada 10 Mac 2020 hingga 16 Ogos 2021, beliau dilantik pula sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

Beliau kemudiannya diberi kepercayaan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) mulai 30 Ogos 2021 hingga 24 November 2022.

Sebelum itu, beliau menjadi Timbalan Speaker Dewan Rakyat mulai 28 April 2008 hingga 3 April 2013.

Beliau berkata, pengalaman sebagai Timbalan Speaker Dewan Rakyat memberikannya keyakinan untuk menjadi Speaker Dewan Negara.

Terdahulu dua ahli Dewan Negara mengangkat sumpah jawatan antaranya Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa, Datuk Nor Jazlan Mohamad. – MalaysiaGazette