Mahkamah Majistret Pekan

PEKAN – Seorang ahli politik dan seorang kontraktor mengaku bersalah atas pertuduhan mendatangkan kecederaan seorang guru di Mahkamah Majistret Pekan hari ini.

Tertuduh, Zamri Ramli, 64, dan Suhaimi Ibrahim 58, membuat pengakuan bersalah di hadapan Majistret Wahidah Zainal Abidin.

Kedua-dua tertuduh dihukum denda RM1,000 seorang dan mahkamah kemudian menetapkan hukuman penjara tiga bulan jika gagal membayar denda.

Mereka didakwa di bawah Seksyen 323 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan memperuntukkan hukuman sama.

Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-dua sekali.

Terdahulu, Mahkamah Majistret Rompin memutuskan kedua-dua suspek dilepaskan tanpa dibebaskan pada Jumaat lalu.

Ia berikutan ahli politik berkenaan tidak dapat menghadirkan diri ke Mahkamah Majistret Rompin dengan alasan mempunyai urusan keluarga yang tidak dapat dielak namun tertuduh kedua hadir ke prosiding.

BACA: Kes tumbuk: Ahli politik tak hadir prosiding mahkamah hari ini

Pada 12 April lalu, MalaysiaGazette melaporkan insiden pergaduhan melibatkan salah faham beberapa orang ahli politik sehingga mendatang kecederaan di sebuah restoran di Pekan.

Ia membabitkan bekas pemimpin kanan UMNO bahagian itu sendiri dipercayai menumbuk seorang individu yang juga ahli parti di sebuah restoran mamak.

Mangsa berusia 42 tahun telah ditumbuk bersama orang kanan ahli politik tersebut lebih dari sekali. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Bekas pemimpin parti di Pekan bergaduh di kedai mamak