Deretan kontena yang memenuhi dermaga Westport, Pelabuhan Klang. Foto MOHD ADZLAN, 14 APRIL 2023.

KUALA LUMPUR – Jumlah perdagangan Malaysia susut 2.0% kepada RM223.8 bilion pada bulan Mei 2023 ekoran permintaan global yang perlahan dan harga komoditi yang lebih rendah.

Eksport negara menunjukkan tanda pemulihan dengan mencatatkan pengurangan marginal sebanyak 0.7% kepada RM119.61 bilion pada Mei 2023 berbanding penyusutan dua digit yang direkodkan bulan lepas.

Manakala import menurun 3.3% kepada RM104.19 bilion.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, Malaysia telah mencatatkan lebihan dagangan yang ke-37 bulan berturut-turut pada
Mei 2023 dengan pertumbuhan dua digit 21.4% kepada RM15.42 bilion.

Menurutnya, prestasi perdagangan ini seiring dengan negara serantau lain yang turut mencatatkan pertumbuhan perdagangan negatif seperti China, Taiwan dan Korea.

Meskipun mencatatkan penyusutan, eksport ke rakan dagang utama khasnya China, Amerika Syarikat (AS) dan Jepun merekodkan peningkatan.

Sementara itu, kenaikan eksport turut dicatatkan bagi keluaran petroleum, barangan elektrik dan elektronik (E&E), jentera, kelengkapan dan peralatan serta barangan makanan diproses.

Berbanding April 2023, perdagangan, eksport, import dan lebihan dagangan masing-masing merekodkan pertumbuhan dua digit 13.2%, 13.7%, 12.6% dan 22.1%.

Pada lima bulan pertama tahun 2023, jumlah perdagangan telah melepasi RM1 trilion yang bernilai RM1.066 trilion, menyusut sebanyak 1.7% berbanding tempoh yang sama tahun 2022.

Eksport menurun 2.3% kepada RM579.39 bilion dan import berkurang 1% kepada RM486.96 bilion.

Lebihan dagangan berkurang 8.7% kepada RM92.43 bilion. – MalaysiaGazette