Timbalan Pengarah JPJ Wilayah Persekutuan, Erick Jusiang melihat lori yang ditahan oleh pemandu warga asing selepas mengadakan Operasi Pemandu Warga Asing di Jabatan Pengangkutan Jalan Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 20 JUN 2023.

KUALA LUMPUR – Syarikat pembersihan dan perdagangan dinasihatkan untuk tidak mengarah serta membenarkan pekerja warga asing memandu kenderaan syarikat.

Timbalan Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, pihaknya akan mengambil tindakan tegas terhadap pemilik syarikat serta mengeluarkan saman terhadap mereka kerana memandu kenderaan syarikat.

“Pengurus-pengurus syarikat digesa supaya memastikan pekerja warga asing tidak memandu kerana mereka memang tidak dibenarkan membawa kenderaan perdagangan,” katanya pada sidang media Op Pemandu Warga Asing (PeWA) di ibu pejabat JPJ WPKL, di sini, hari ini.

Menurut Erick, sebanyak lima buah lori milik syarikat pembersihan terkenal di ibu negara disita kerana membenarkan kenderaan dipandu warga asing.

Sementara itu, beliau meberitahu, sebanyak 39 buah kenderaan disita dalam Op PeWA di sekitar Kepong dan Taman Batu Muda yang bermula 8 pagi tadi.

“Sebanyak 115 kenderaan diambil tindakan kerana tiada lesen memandu termasuk tiada lesen memandu kenderaan perdagangan, cukai jalan dan insurans tamat tempoh, menyalahguna lesen kenderaan motor (LKM) serta lain-lain kesalahan.

“Daripada jumlah itu, JPJ menyita 39 buah kenderaan terdiri 15 lori, motosikal 22, serta kereta dan forklift masing-masing satu,” ujarnya.

Erick berkata, dalam operasi yang dilakukan dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) hari ini, seramai 54 orang warga asing ditahan selepas didapati memandu tanpa lesen.

Katanya, kebanyakan yang ditahan mendakwa mengikuti arahan pihak syarikat untuk memandu kenderaan berkenaan.

Beliau berkata, kes akan disiasat mengikut Seksyen 26 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, Seksyen 57 dan Seksyen 90 (1) akta sama.

Mengulas mengenai penahanan yang dibuat JIM, Erick menjelaskan, kesemua tahanan melibatkan 13 warga Bangladesh, 12 Myanmar, India dan Pakistan masing-masing 10 serta sembilan warga Indonesia didapati tiada dokumen perjalanan sah, tinggal lebih masa serta menyalahguna pas lawatan.

“Kesemua tahanan yang berusia antara 35 hingga 45 tahun itu akan dibawa ke ibu pejabat Imigresen untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Menurut beliau, Op PeWA akan terus dilaksanakan dengan kekerapan dua kali sebulan bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Rupa rupanya baru celik mata ya..perkara ini dah bertahun dilakukan oleh warga asing..Bak kata p.ramlee…KESIAN MATANYA BUTA

Comments are closed.