Kapal selam Titan yang hilang ketika dalam perjalanan ke lokasi serpihan Titanic.

OTTAWA – Pasukan penyelamat Amerika Syarikat (AS) dan Kanada sedang mengerakkan operasi besar-besaran mencari kapal selam yang membawa lima orang ke lokasi serpihan Titanic pada Isnin selepas kapal selam itu hilang di Lautan Atlantik.

Kapal itu dikatakan mampu bertahan selama empat hari atau kurang.

Hubungan dengan kapal selam kecil itu hilang kira-kira sejam 45 minit selepas ia mula menyelam, kata Pengawal Pantai AS.

Firma pelancongan OceanGate berkata, semua pilihan sedang diterokai termasuk menggunakan semua aset yang ada untuk mengesan dan menyelamatkan lima orang di dalam kapal berkenaan.

Lokasi operasi bertumpu kira-kira 900 batu di timur Cape Cod sehingga sedalam 13,000 kaki dan ia adalah operasi yang rumit.

“Adalah satu cabaran untuk menjalankan pencarian di kawasan terpencil,” kata Laksamana Muda, John Mauger, komander Daerah Pengawal Pantai Pertama, pada sidang akhbar.

Menerusi Twitter, pengawal pantai AS menulis, kapal selam 21 kaki bernama “Titan,” berlepas dari St. John, memulakan penyelaman pada pagi Ahad.

Tetapi Polar Prince, kapal Kanada yang menyokong kapal air itu, terputus hubungan dengannya kira-kira sejam 45 minit kemudian.

OceanGate Expeditions, sebuah syarikat penerokaan laut dalam yang berpangkalan di Washington, mengesahkan dalam satu kenyataan bahawa ia memiliki kapal selam itu.

Titan adalah sebuah kapal dalam kategori kapal selam tetapi lebih kecil dan kurang kelengkapan berbanding kapal selam tentera klasik.

Kapal selam ini berukuran trak yang memuatkan lima orang dan biasanya menyelam dengan bekalan oksigen kecemasan selama empat hari.

Ekspedisi syarikat itu ke tapak bangkai Titanic turut disertai ahli arkeologi dan ahli biologi marin.

OceanGate juga membawa individu yang membayar tiket berharga AS$259,000 dalam ekspedisi “misi pakar” untuk perjalanan lapan hari termasuk menyelam ke bangkai kapal pada kedalaman 3,800 meter.

Mereka bergilir-gilir mengendalikan peralatan sonar dan melaksanakan tugas lain dalam kapal selam tersebut.

Bangkai Titanic terletak kira-kira 435 batu (700km) di selatan St John’s, Newfoundland, walaupun misi menyelamat dijalankan dari Boston, Massachusetts.

Berdasarkan maklumat syarikat, Mauger berkata, kapal selam itu mempunyai keupayaan kecemasan selama 96 jam, termasuk oksigen dan bahan api.

“Jadi kami menjangkakan terdapat antara 70 dan 96 jam untuk kerja-kerja menyelamat ketika ini,” katanya. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast