KUALA LUMPUR – Kerajaan bersetuju memberikan kelonggaran dalam urusan perolehan kerja di bawah Arahan Perbendaharaan (AP)182 bagi mempercepatkan pelaksanaan projek prasarana rakyat terutama pembinaan sekolah dan klinik daif.
Ia selaras dengan pembentangan Belanjawan 2023 yang dibentangkan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Kementerian Kewangan dalam kenyataan berkata, keputusan tersebut diambil Mesyuarat Jemaah Menteri yang terkini dan
berkuat kuasa serta merta sehingga 31 Disember 2023.
Katanya, kelonggaran melibatkan kaedah pelaksanaan projek, kaedah perolehan dan kemudahan pembiayaan kepada kontraktor.
Bagi kelonggaran kaedah pelaksanaan projek pengecualian diberikan ke atas AP182 kepada semua kementerian atau agensi pelaksana sehingga di peringkat negeri dan daerah dengan had nilai sehingga RM1 juta bagi projek penyelenggaraan dan pembaikan kecil.
“Ini bermakna semua projek Kerajaan Persekutuan yang merangkumi penyelenggaraan dan pembaikan yang bernilai RM1 juta boleh dilaksanakan terus oleh Kementerian dan agensi berkenaan termasuk di peringkat negeri atau daerah tanpa perlu melalui Jabatan Teknik termasuk Jabatan Kerja Raya dan Jabatan Pengairan dan Saliran.
“Pengesahan kerja siap boleh dibuat oleh Ketua Jabatan atau pegawai yang diturunkan kuasa di peringkat agensi pelaksana negeri dan daerah dengan mematuhi kesempurnaan kerja mengikut tadbir urus baik.
“Mewujudkan satu pasukan pemantau projek sama ada di peringkat negeri atau daerah dengan penglibatan beberapa agensi, pegawai dari pelbagai jabatan bagi membantu memantau pelaksanaan projek penyelenggaraan dan pembaikan kecil memenuhi objektif yang ditetapkan,” katanya.
Bagi kaedah perolehan kerajaan bersetuju meberi kelonggaran bagi semua projekpenyelenggaraan dan pembaikan kecil yang dilaksanakan oleh semua kementerian atau agensi pengguna sehingga ke peringkat negeri dan daerah.
Had nilai sebut harga perolehan kerja ditingkatkan daripada RM500,000 kepada RM1 juta dan had perolehan secara cabut undi ditingkatkan daripada RM100,000 kepada RM200,000.
Bagi meningkatkan penglibatan kontraktor kecil dari pelbagai kelas dalam melaksanakan projek berskala kecil kerajaan memperkenalkan kemudahan pembiayaan secara financial close.
Ia bagi memastikan kontraktor tiada masalah aliran tunai dan kerja disiapkan mengikut jadual.
Butiran lanjut berkaitan program berkenaan akan dimaklumkan dalam masa terdekat.-MalaysiaGazette