KUALA LUMPUR – Kerajaan kekal dengan pendirian untuk tidak menambat ringgit dalam usaha menangani penyusutan nilainya berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) berikutan kesan buruknya kepada rakyat.
Ketika menegaskan perkara itu, Timbalan Menteri Kewangan 1 Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, tindakan menambat ringgit akan menyebabkan Malaysia hilang keupayaan untuk meneruskan dasar monetari dan seterusnya memaksa Bank Negara Malaysia (BNM) menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) ke tahap sama seperti kadar faedah Amerika Syarikat yang kini di ambang 5.00-5.25 peratus.
“Alangkan OPR kita pada 3.00 peratus rakyat sudah rasa amat tidak selesa, ini kan pulak (jika) dinaikkan kepada 5.25 peratus.
“Satu lagi keburukan (menambat ringgit), kawalan aliran modal tidak akan bebas kerana keluar masuk pelaburan asing ke dalam negara kita akan dikawal. Apabila kita tambat nilai ringgit, maka ini menjejaskan keyakinan dan daya saing negara,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Negara, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Senator Datuk Shamsuddin Abd Ghaffar sama ada kerajaan akan bertindak menambat ringgit serta punca kejatuhan ringgit dan usaha menanganinya. – BERNAMA