Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan (tiga kiri) bergambar bersama penerima cenderahati rakan strategik kementerian selepas melancarkan sistem Tourlist di Sofitel Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) tiada halangan untuk memudahkan proses permohonan konsert penghibur antarabangsa termasuk Coldplay.

Bagaimanapun, Timbalan Menterinya, Khairul Firdaus Akbar Khan memberitahu, setakat ini tiada lanjutan tarikh yang dimohon oleh penganjur berhubung konsert berkenaan.

“Buat masa ini, kita belum terima sebarang permohonan daripada pihak penganjur untuk mengadakan lebih banyak persembahan konsert jelajah Coldplay itu selain daripada tarikh yang telah ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Sistem Pelesenan dan Penguatkuasaan Pelancongan (Tourlist), di sini, hari ini.

Jelasnya, sebarang keputusan mengenai penganjuran dan kelulusan persembahan itu perlu mengikut prosedur operasi yang telah ditetapkan.

“Di sesetengah negeri memang tegas dengan peraturan mereka tapi ada juga negeri lain mempunyai lebih banyak kelonggaran. Ia kerana setiap negeri ada syarat dan peraturan tersendiri dalam pemberian permit persembahan melibatkan artis antarabangsa,” ujarnya.

Khairul berkata demikian bagi mengulas kumpulan rock popular dari Britain itu yang telah menambah sehari lagi tarikh konsert di Singapura menjadikan ia jelajah selama enam hari.

Pada 22 November ini, Coldplay akan membuat persembahan di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Ia merupakan konsert pertama Coldplay di negara ini dalam Jelajah Dunia Music Of The Spheres di Asia. – MalaysiaGazette