Norlizah melawat ke Digital Nasional Berhad (DNB) di Menara Tun Razak Exchange (TRX), dekat Kuala Lumpur, kelmarin.

ISKANDAR PUTERI – Sebanyak 707 tapak struktur komunikasi sedia ada dan tambahan 192 tapak baharu akan dibina bagi menyokong Pelan Pelaksanaan Rangkaian 5G di Johor.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi Negeri Johor, Norlizah Noh berkata, ini kerana Malaysia kini berada di landasan yang betul dalam usaha merapatkan jurang ketersediaan 5G menjelang Disember ini.

“Saya yakin pelaksanaan 5G di Malaysia khususnya bagi Negeri Johor ini akan memberi peluang yang sangat besar terhadap ekonomi, sosial dan teknologi kepada masyarakat umum dan usahawan.

“Dengan ada 5G ini semua perkara dapat didigitalkan,” katanya menerusi laman Facebook.

Kelmarin Norlizah mengadakan lawatan ke Digital Nasional Berhad (DNB) di Menara Tun Razak Exchange (TRX) Kuala Lumpur.

Turut hadir bersamanya  Datuk Bandar Pasir Gudang, Datuk Asman Shah Abd. Rahman serta Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Johor, Mohamad Rizal Ahmad.

Terdahulu, Norlizah bersama delegasi dari Negeri Johor diberikan taklimat mengenai pelaksanaan 5G di negeri ini daripada pihak DNB. – MalaysiaGazette