ALOR SETAR – Tiada warlord atau pemimpin utama UMNO dari Kedah yang akan menyertai Perikatan Nasional (PN) sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) seperti yang digembar-gemburkan sesetengah pihak sebelum ini.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid menegaskan yang desas-desus berkaitan perkara itu hanyalah propaganda direka pihak lawan untuk menarik sokongan rakyat menjelang PRN akan datang terutamanya golongan muda.
“Setakat ini tidak nampak, tidak ada di Kedah. Saya fikir mana-mana organisasi parti politik akan ada musimnya.. ada yang keluar dari parti atau dikenakan tindakan dan mereka bawa diri. Bukan sahaja UMNO pergi ke parti lain, tapi dari parti lain ke UMNO pun ada terjadi.
“Contohnya bekas Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali menyertai Majlis Ulama UMNO. Jadi, tidak perlu guna persepsi untuk pilihan raya kerana pada akhirnya rakyat akan pilih sama ada Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) atau Perikatan Nasional (PN),” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Pada 12 Jun lepas, media melaporkan yang PN didakwa akan mengumumkan senarai nama 10 ‘panglima perang’ atau ‘warlord’ UMNO yang disisihkan untuk menyertai parti itu dalam masa terdekat dan Setiausaha Agung PN Datuk Seri Hamzah Zainudin dilaporkan sebagai berkata nama berkenaan didakwa akan didedahkan pada program bersesuaian. – Bernama